PETALING JAYA: Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu segera melaksanakan siasatan berhubung dakwaan penglibatan Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk menggugat kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Harrison Hassan berkata, tindakan segelintir pemimpin parti yang mengkritik kepimpinan secara terbuka disifatkan tidak wajar serta mencabar disiplin dan kesetiaan dalam Bersatu.
Katanya, lebih membimbangkan apabila wujud dakwaan bahawa Hamzah selaku Timbalan Presiden didakwa menjadi dalang tindakan yang dilihat melemahkan kepimpinan presiden serta mencetuskan perpecahan dalam parti.
“Tindakan seperti ini bukan sahaja mencerminkan keangkuhan politik malah merupakan satu bentuk penderhakaan terbuka terhadap kepimpinan sah parti dan jelas bercanggah dengan Perlembagaan Bersatu.
“Jika dakwaan ini dibuktikan, tindakan disiplin paling tegas mesti diambil selaras dengan peruntukan perlembagaan parti. Tiada siapa, walau setinggi mana jawatannya, boleh diletakkan mengatasi parti dan presidennya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Harrison, Perlembagaan Bersatu mewajibkan setiap ahli dan pemimpin menjaga disiplin parti, menghormati struktur organisasi serta mengelakkan tindakan yang boleh menjejaskan perpaduan dan imej parti.
Tegasnya, Bersatu tidak sepatutnya dijadikan medan agenda peribadi atau percaturan politik kerana kegagalan bertindak boleh menjejaskan maruah parti serta kepercayaan rakyat.
“Mana-mana pemimpin yang memilih untuk melemahkan parti dari dalam, mempermalukan presiden secara terbuka dan menghasut perpecahan jelas telah mengkhianati amanah ahli serta prinsip asas perjuangan Bersatu,” katanya. – UTUSAN










