MISC meterai kontrak jangka panjang dengan EMPNG - Utusan Malaysia

MISC meterai kontrak jangka panjang dengan EMPNG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MISC Berhad memeterai kontrak jangka panjang dengan ExxonMobil PNG Limited (EMPNG) bagi penyediaan pajakan bareboat serta perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan sebuah unit Floating Storage and Offloading (FSO) di Papua New Guinea, sekali gus menandakan kemasukan strategik kumpulan itu ke pasaran negara berkenaan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MISC berkata, kontrak tersebut dimeterai pada 9 Februari 2026 dengan EMPNG, pengendali Projek PNG LNG.

“Pajakan bareboat FSO itu adalah bagi tempoh tetap 15 tahun, dengan pilihan lanjutan sehingga 15 tahun tambahan, manakala FSO berkenaan dijangka memulakan operasi pada separuh pertama 2028,” katanya dalam kenyataan.

Menurut MISC, FSO itu akan menjadi kemudahan terapung luar pesisir pertama di Papua New Guinea dan akan digunakan sebagai sebahagian daripada Sistem Saluran Paip Kutubu, sekali gus memperluaskan jejak antarabangsa kumpulan dalam segmen aset luar pesisir.

MISC berkata, kontrak tersebut melibatkan risiko komersial dan pelaksanaan projek, termasuk kemungkinan kelewatan jadual dan lebihan kos, selain risiko operasi, penyelenggaraan serta pematuhan keselamatan dan alam sekitar.

“Namun risiko ini tambahnya, merupakan sebahagian daripada industri luar pesisir dan akan ditangani melalui pengalaman serta kepakaran sedia ada kumpulan.

“Kontrak berkenaan tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa kerajaan, dan tidak memberi kesan material terhadap modal saham, pegangan saham pemegang saham utama, pendapatan sesaham, kadar penggearan serta aset bersih sesaham kumpulan MISC bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026,” katanya.

EMPNG merupakan anak syarikat milik penuh tidak langsung ExxonMobil Corporation, dengan aktiviti utama melibatkan penerokaan, pengeluaran, pemprosesan dan pengangkutan petroleum serta gas asli di Papua New Guinea. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN