PETALING JAYA: Pelakon, Meerqeen pernah digelar ‘Iron Man’ oleh rakan-rakan sekolahnya gara-gara hadir ke sesi kawad kaki dengan mengenakan baju bercorak adiwira itu, suatu ketika dahulu.
Mengimbau kenangan tersebut, Meerqeen atau Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 24, berkata beliau menjadi satu-satunya pelajar yang hadir ke latihan tanpa mengenakan seragam lengkap Kadet Polis.
“Semua pelajar lain memakai seragam lengkap dengan tali pinggang putih dan kasut ladang, tetapi saya pula datang dengan seluar trek, selipar dan baju Iron Man.
“Saya menyangka latihan itu sekadar aktiviti petang biasa kerana sebelum itu memang tidak pernah menyertai sesi kawad,” katanya menerusi satu perkongsian dalam podcast Myn & Cat.
Menurut Meerqeen, tindakannya itu pada awalnya mengundang rasa kurang senang dalam kalangan ahli Kadet Polis lain, namun suasana menjadi reda apabila para senior wanita memilih untuk tidak memarahinya.
“Mereka kelihatan seperti mahu memarahi saya, tetapi apabila kakak senior Kadet Polis memandang saya, terus tidak jadi,” katanya berseloroh.
Sejak kejadian itu, gelaran ‘Iron Man’ terus melekat dan menjadi panggilan popular terhadap dirinya sepanjang zaman persekolahan.
Dalam pada itu, Meerqeen turut berkongsi pengalaman bersekolah di kawasan Keramat yang disifatkannya sebagai agak tegas dan mencabar, namun penuh dengan kenangan bermakna.
Beliau berkata, semasa di bangku sekolah, dirinya aktif dalam bidang sukan sebagai atlet larian 200 meter selain memegang jawatan sebagai Komander Kadet Polis.
Mengulas persepsi segelintir senior lelaki yang menganggap dirinya bersikap ‘poyo’, Meerqeen mengakui pengalaman tersebut sebagai asam garam masa kecil.
“Mungkin ketika itu orang anggap saya begitu kerana ‘ada rupa’, walaupun saya tidak pernah berniat sedemikian.
“Saya atlet lari 200 meter dan komander kadet polis. Memang ada senior lelaki yang beranggapan negatif, namun pada masa sama, ramai kakak senior yang sentiasa ‘menjaga’ saya,” katanya. -UTUSAN










