PARLIMEN: PM ingatkan jangan singgung perasaan ‘rakan’ di Indonesia

PARLIMEN: PM ingatkan jangan singgung perasaan ‘rakan’ di Indonesia

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya tidak menyinggung perasaan ‘rakan’ di Indonesia dalam menyuarakan pandangan berhubung isu Jajaran Sempadan Malaysia-Indonesia.

Perdana Menteri berkata, perbezaan pendapat dalam isu sempadan antara Malaysia-Indonesia adalah perkara biasa, malah perlu diraikan, namun hubungan baik kedua-duanya perlu dipelihara agar tidak terjejas.

“Kita kena jaga hubungan kita dengan Indonesia sejak 1974 yang sangat baik. Rundingan (persempadanan) diteruskan di semua peringkat.

“Selalunya kerjasama antara dua pihak itu dari serendah-rendah pegawai hinggalah kepada menteri dan Perdana Menteri dengan Indonesia sangat baik,” katanya pada sesi penerangan isu Jajaran Sempadan Malaysia–Indonesia di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menjelaskan kedudukan sempadan di kawasan Outstanding Border Problem (OPB) berdasarkan perjanjian yang dirujuk sejak 1915 dan tidak pernah dipertikaikan kerajaan sebelum ini.

Katanya, walaupun perjanjian 1915 itu tidak dimuktamadkan kerana tidak ditandatangani, kawasan berkenaan tetap diletakkan di bawah pentadbiran kerajaan Indonesia berdasarkan garis sempadan yang dirujuk dalam perjanjian tersebut.

 

“Sejak 1915, perkara ini tidak dipertikai oleh kerajaan Inggeris dan kerajaan Malaysia. Ini yang dikatakan walaupun pada faktanya tidak dimuktamadkan kerana perjanjian itu tidak ditandatangani, walaupun ia menjadi milik dan di bawah pengelolaan kerajaan Indonesia sempadan di kawasan OPB ,

“Berdasarkan perkara yang terkandung, saya tegaskan pada perjanjian 1915 iaitu 780 hektar jadi milik Malaysia, tetapi 5,987 itu kekal di bawah milik Indonesia, yang dimiliki oleh Indonesia sejak 1915,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN