LUMUT: Hasil bedah siasat ke atas mayat lelaki yang ditemukan reput dan terapung di Sungai Jambatan Kampung Lubuk, Changkat Keruing di sini Khamis lalu, mendapati kematian mangsa akibat hentakan objek tumpul di kepala.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata,
keputusan itu diperolehi selepas bedah siasat selesai dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada Jumaat.
“Pada 29 Januari lalu sekitar pukul 5.30 petang, pihak polis telah menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan penemuan mayat seorang lelaki di lokasi kejadian.
“Siasatan awal pihak polis mendapati mayat reput itu dalam keadaan terapung di dalam sungai dengan keadaan separuh bogel dan memakai baju T berwarna biru bertulisan Prada tanpa seluar,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan pada tubuh si mati tidak menjumpai sebarang dokumen bagi tujuan pengenalan diri.
Katanya, mayat mangsa yang dibawa naik dari sungai dengan dibantu pasukan bomba telah dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk proses bedah siasat.
“Pegawai perubatan mengesahkan punca kematian si mati adalah disebabkan kecederaan di kepala akibat hentakan objek tumpul. Sehubungan itu, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat kes tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Mohd. Azalan Ab Karim di talian 019-392 7837. – UTUSAN










