BESUT: Mayat seorang lelaki berpakaian lengkap ditemukan terapung di Pantai Bukit Bubus dekat Kampung Raja, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd. Rozaime Ab. Rahim berkata, mayat mangsa berusia 54 tahun itu ditemukan kira-kira pukul 7.05 petang oleh sekumpulan pemancing yang berada di kawasan tersebut.
“Lelaki itu dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 24 jam yang mana dia berasal dari Pasir Puteh, Kelantan dikatakan datang memancing di kawasan berhampiran secara bersendirian.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan penyakit jantung. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN










