PADANG TERAP: Setelah hampir tujuh tahun terbengkalai sejak diumumkan pada 2018, pembinaan Masjid Muadzam Shah di Kuala Nerang, di sini menunjukkan sinar baharu apabila pembangunannya mencapai tahap 31 peratus dan dijangka siap pada Ogos ini.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkembangan positif itu dimaklumkan kontraktor baharu yang dilantik dalam taklimat bersama pelbagai pihak termasuk Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Kontraktor akan mempercepat pelaksanaan projek termasuk menambah jumlah pekerja, jika mengikut jadual semasa masjid ini dijangka dapat disiapkan dalam tempoh enam bulan dari sekarang.
“Walaupun terdapat sedikit perbezaan kecil dalam jadual sekitar satu peratus, namun projek akan disiapkan mengikut jadual ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak pembinaan Masjid Muadzam Shah, Kuala Nerang, di sini hari ini.
Mahdzir berkata, meskipun masjid bernilai RM7.89 juta itu diumum akan dilaksana pada 2018, namun pembinaannya hanya bermula pada 2021 atas pelbagai faktor termasuk peralihan kerajaan dan pandemik Covid-19 yang menyebabkan kelewatan berlaku.
“Tetapi pada 2022, tender kepada kontraktor pertama ditamatkan, setahun kemudian baru dibuka semula tender baharu dan kontraktor lain dilantik pada 2025.
“Dari segi garis masa memanglah jadi tujuh tahun, perkara itulah yang menimbulkan pelbagai persepsi, pemikiran penduduk Kuala Nerang pun terganggu juga sedikit,” katanya.
Tambah beliau, masjid berkenaan akan dilengkapi ruang solat untuk 1,500 jemaah selain menyediakan kemudahan ruang taklimat, bilik imam serta ruang pengurusan jenazah.-UTUSAN










