PUTRAJAYA: Malaysia akan terus mengamalkan pendekatan seimbang dan pragmatik dalam menguruskan hubungan luarnya.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, prinsip diplomasi dan komitmen itu telah diamalkan sejak sekian lama berasaskan kepercayaan, keikhlasan dan persefahaman.
“Malaysia kekal komited terhadap penglibatan yang konstruktif serta kerjasama saling menghormati dengan semua rakan.
“Kita menghargai persahabatan yang telah dibina dan akan terus memupuknya dengan rasa hormat dan keikhlasan,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Kementerian Luar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
Katanya, pelaksanaan dasar luar memerlukan keteguhan kerana ia sering berlangsung di luar perhatian umum apatah lagi persekitaran global hari ini amat mencabar dan berlaku sangat pantas.
“Sebagai negara terbuka dan bergantung kepada perdagangan, Malaysia akan memastikan diplomasi dilaksanakan secara tersusun dan diselaraskan dengan baik.
“Ia mesti disokong oleh institusi yang berkeupayaan serta proses yang jelas. Inilah tonggak untuk memastikan kestabilan supaya perniagaan dapat berdagang, pelajar dapat mengembara, keluarga berasa selamat dan negara dapat merancang masa depan dengan penuh keyakinan,” katanya.
Terdahulu, Anwar melancarkan Pelan Strategik Kementerian Luar 2026-2030 yang menjadi kerangka panduan bagi penglibatan berterusan Malaysia dengan negara-negara, organisasi antarabangsa dan pihak berkepentingan dalam tempoh lima tahun akan datang. – UTUSAN










