Malaysia perlu lindungi dagangan RM368b dengan AS - Utusan Malaysia

Malaysia perlu lindungi dagangan RM368b dengan AS

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu berhati-hati dalam menilai se­mula Perjanjian Perdaga­ngan Timbal Balas (ART) de­ngan Amerika Syarikat (AS) bagi melindungi nilai dagangan hampir RM368 bilion dengan negara itu pada tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang keputusan dan tindakan ber­kenaan perkara itu tidak boleh dibuat tergesa-gesa bagi memastikan ia tidak menjejaskan manfaat ekonomi dan kepentingan rakyat secara keseluruhan.

“Eksport Malaysia ke AS mencecah RM233.1 bilion sementara perdagangan dua hala Malaysia-AS pula berjumlah RM367.5 bilion,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump mengenakan tarif tambahan 10 peratus ke atas import ke negara itu yang dikuatkuasakan serta-merta.

Pelaksanaan duti baharu itu dibuat selepas Mahkamah Agung AS memutuskan penggunaan kuasa darurat oleh Trump untuk mengenakan tarif timbal balas ke atas hampir semua rakan dagangan AS adalah tidak berperlembagaan.

Mahkamah tertinggi itu turut memutuskan Trump melampaui kuasa Presiden apabila menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa 1977 (IEEPA) untuk mengenakan tarif global secara meluas.

Anwar berkata, ART belum berkuat kuasa kerana tertakluk kepada proses ratifikasi di bawah undang-undang sedia ada dan AS belum mencadangkan tarikh untuk tujuan itu.

“Perkara ini dipantau rapat bukan sahaja oleh negara kita, tetapi semua negara. Kerajaan juga ambil kira implikasi dan kesan susulan.

“Perintah eksekutif ini, kesan sementara itu baik bagi Malaysia kerana ia turun kepada 15 peratus dari 19 peratus, tapi ini hanya berkuat kuasa 150 hari,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan perlu melihat sebarang kemungkinan termasuk langkah Trump untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Agung AS.

“Apakah kita tunggu sehingga selesai? Kita sentiasa pantau. Kita juga tahu bahawa Presiden AS mungkin menggunakan Seksyen 122 IEEPA, jadi kita belum tahu.

“Kemudian apakah Kongres AS akan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Agung AS atau berbeza pendapat, itu pun masih belum dipastikan,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan akan meneruskan perdagangan dua hala dan tidak akan mengambil tindakan gopoh hingga menjejaskan kepentingan negara.

“Dari sudut perdagangan, kita terus daripada peringkat sekarang kerana apa yang dikenakan sebelum ini, tidak kepada syarikat Malaysia, (tetapi) syarikat AS yang melabur, jadi dikenakan itu melibatkan syarikat mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×