PORT DICKSON: Seorang lelaki warganegara Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya di sebuah bilik rumah kedai berhampiran Jalan Besar Bukit Pelandok pada 9 Februari lalu.
Pertuduhan terhadap tertuduh, Maung Thuka Nyita, 21, dibacakan hari ini di hadapan Majistret Mohd Farez Rahman.
Bagaimanapun tertuduh tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dan tiada pengakuan direkodkan daripada memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Zar Bi Myat Khaing, 26, di dalam bilik tingkat satu, Jalan Besar Bukit Pelandok, antara pukul 9 malam, 8 Februari hingga 9 pagi, 9 Februari lalu.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.
Mahkamah kemudian tidak menawarkan sebarang jaminan serta menetapkan 31 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi untuk memberi masa menyediakan khidmat jurubahasa Myanmar dan serahan laporan kimia.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa akibat luka tikaman berganda di leher dengan sebanyak 29 tikaman dikesan. – UTUSAN










