LBS rai Tahun Baharu Cina dengan kejayaan 65 tahun pertumbuhan

LBS rai Tahun Baharu Cina dengan kejayaan 65 tahun pertumbuhan

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof semasa sesi Lou Sang pada Jamuan Tahun Baharu Cina LBS 2026 di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: LBS Bina Group Berhad (LBS), pemaju hartanah terkemuka pilihan rakyat, menganjurkan Majlis Makan Tengah Hari Tahun Baharu Cina di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, swmalam.

Majlis telah diserikan dengan keberangkatan Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan menghimpunkan para tetamu kehormat, rakan perniagaan, wakil media serta warga LBS dalam suasana penuh muhibah, keharmonian dan kemakmuran bersama.

Majlis yang mencerminkan tradisi berterusan LBS dalam memupuk kebersamaan dan penghargaan, diadakan bersempena sambutan Tahun Kuda, yang membawa simbol kekuatan dan ketabahan serta momentum ke hadapan dalam budaya masyarakat Cina.

Bagi LBS, Tahun Kuda turut membawa makna yang signifikan sejajar dengan perjalanan pertumbuhan Kumpulan, melambangkan tenaga baharu, kemajuan serta iltizam untuk terus melangkah yakin ke arah aspirasi jangka panjang.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran dif-dif kehormat, antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Peralihan Tenaga serta Transformasi Air; Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri  Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Sambutan Tahun Baharu Cina kali ini menandakan satu detik bersejarah buat LBS, bersempena ulang tahun ke-65 penubuhan syarikat, iaitu enam setengah dekad sejak tahun 1961.

Diasaskan oleh mendiang Dato’ Sri Lim Bock Seng, LBS telah berkembang pesat dan kini muncul sebagai salah sebuah pemaju hartanah terkemuka di Malaysia.

Kira-kira 600 tetamu menghadiri majlis tersebut dan dihiburkan dengan persembahan muzik tradisional Cina yang mencerminkan keharmonian semangat masyarakat berbilang kaum di negara ini, di samping berpeluang beramah mesra bersama dalam suasana yang meriah dan penuh santun.

Pada majlis yang penuh makna ini, LBS secara rasminya mengumumkan pembaharuan janji jenamanya, “Building Tomorrow Together”, yang mencerminkan visi masa hadapan Kumpulan, komitmennya dalam membangunkan komuniti yang lestari dan berkembang, serta dedikasi berterusan untuk menyampaikan nilai berkekalan kepada generasi akan datang.

Sejak berdekad lamanya, LBS telah memainkan peranan penting dalam membentuk kediaman, bandar dan komuniti di seluruh Malaysia.

Falsafah Kumpulan kekal berteraskan kepercayaan bahawa pembangunan mengutamakan kesejahteraan insan berbanding produk semata-mata, pertumbuhan harus dikongsi secara inklusif, mampan dan berlandaskan tujuan, serta masa hadapan kukuh dibina melalui kerjasama erat bersama komuniti, pihak berkepentingan dan negara.

Mengulas mengenai majlis tersebut, Tan Sri Lim Hock San berkata: “Memandang ke hadapan, LBS melihat tahun 2026 sebagai satu penanda aras, dengan perancangan untuk melancarkan 10 projek baharu di sekitar Lembah Klang, Johor dan Pahang.“

Katanya, inisiatif-inisiatif ini mencerminkan iltizam berterusan LBS untuk menyampaikan pembangunan yang mampu milik dan mampan, selaras dengan keperluan yang semakin berkembang dalam kalangan Keluarga Malaysia, di samping menyokong aspirasi pembentukan masyarakat MADANI yang harmoni.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga LBS, di samping mengiktiraf dedikasi serta komitmen tidak berbelah bahagi mereka sebagai pemangkin utama kepada kejayaan berterusan Kumpulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN