KUALA LUMPUR: Lapan Ahli Parlimen PKR mendesak kerajaan supaya menggantung tugas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki susulan pendedahan media antarabangsa, Bloomberg.
Jurucakap mereka iaitu Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, tindakan menggantung tugas terhadap Ketua Pesuruhajaya SPRM itu adalah bagi membolehkan siasatan menyeluruh, bebas dan telus dapat dijalankan terhadap dakwaan-dakwaan yang dilaporkan media terbabit.
Katanya, setakat hari ini, reaksi diberikan kerajaan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah bersifat mengelak daripada menjawab dakwaan seperti dilaporkan.
“Jadi bermula minggu depan, kami akan mengambil beberapa tindakan iaitu menulis kepada semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang bagi mendapatkan persetujuan kepada desakan supaya Tan Sri Azam Baki digantung tugas serta merta dan satu siasatan dimulakan.
“Kami juga menggesa supaya setiap Ahli Parlimen tidak kira parti kembali ke kawasan masing-masing dan memulakan sesi penerangan mengenai dakwaan ini kepada penduduk di kawasan masing-masing.
“Kami akan menulis kepada pimpinan DAP dan Amanah supaya menggunakan kedudukan dan pengaruh mereka dalam kerajaan untuk menekan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju menggantung Tan Sri Azam Baki dan memulakan siasatan segera,” katanya pada sidang akhbar di Ampang di sini.
Kelapan-lapan Ahli Parlimen tersebut ialah Rafizi: Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan; Ahli Parlimen Gopeng, Tan Tar Hing dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, pihaknya juga akan menulis kepada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk mencadangkan supaya satu perhimpunan aman diadakan dalam masa terdekat yang bersesuaian untuk membolehkan rakyat menzahirkan bantahan terhadap penyelewengan yang berlaku di dalam SPRM.
“Terakhir, saya akan membuat laporan polis terhadap Tan Sri Azam Baki susulan kepada dakwaan di dalam Bloomberg bahawa beliau campur tangan dalam satu kes melibatkan senjata apa.
“Ia supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh menyiasat dakwaan itu dengan sebaiknya. Lain-lain tindakan akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam sidang akhbar itu, Rafizi membangkitkan tiga contoh dakwaan Bloomberg yang dilihatnya sangat kritikal iaitu membabitkan seorang individu bernama Viktor Chin yang disiasat atas tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM500 juta.
Berdasarkan laporan, individu tersebut menggunakan syarikat awam yang tersenarai dalam Bursa Malaysia untuk ‘mencuci’ hasil dari kegiatan kongsi gelap namun ia berakhir dengan tanpa pendakwaan dan sebahagian besar wang itu dikembalikan.
Kes kedua dibangkitkan Rafizi adalah dakwaan Azam mencampuri siasatan satu kes senjata api melibatkan individu bernama Andy Lim yang didakwa merupakan kenalan rapatnya.
Ia berakhir dengan senjata api tersebut dipulangkan tanpa sebarang pendakwaan.
Terakhir, Bloomberg mendakwa SPRM bersubahat dengan sekumpulan ahli perniagaan untuk mengugut, menekan dan mendakwa pesaingnya dengan bayaran mencecah jutaan ringgit setiap satu.
“Contoh-contoh pendedahan ini cukup serius. Ia bukan sahaja melibatkan SPRM tetapi agensi penguatkuasaan lain seperti PDRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya. – UTUSAN










