PETALING JAYA: Perkhidmatan tren di Laluan Kelana Jaya kendalian Rapid Rail Sdn Bhd hari ini mengalami kelewatan susulan gangguan sistem semboyan antara Stesen Gombak dan Stesen Ampang Park, sekali gus menjejaskan pergerakan ribuan penumpang.
Rapid Rail dalam kenyataan berkata, tiada perkhidmatan tren disediakan dari Stesen Gombak ke Stesen KLCC buat sementara waktu berikutan gangguan tersebut, manakala usaha pemulihan sedang giat dijalankan oleh pasukan kejuruteraan di lokasi.
Katanya, pihak operasi segera mengaktifkan tren alternatif serta menyediakan perkhidmatan bas perantara ulang-alik percuma bagi menghubungkan stesen-stesen terjejas.
“Tren dari Stesen Putra Heights kini berpatah balik di Stesen Pasar Seni dengan kekerapan sekitar enam minit.
“Selain itu, tren perantara ulang-alik turut disediakan antara Stesen Pasar Seni dan Stesen KLCC dengan jangkaan kekerapan kira-kira 20 minit bagi membantu melancarkan pergerakan penumpang,” ,” katanya hari ini.
Dalam pada itu Rapid Rail memaklumkan pasukan kejuruteraannya kini berada di lokasi bagi menjalankan kerja baik pulih untuk memulihkan operasi sepenuhnya secepat mungkin.
“Disebabkan gangguan itu, penumpang dijangka mengalami tempoh menunggu lebih lama di platform khususnya antara Stesen KLCC hingga Stesen Pasar Seni.
“Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan, anggota polis bantuan serta petugas stesen ditempatkan di platform dan ruang legar untuk membantu penumpang, selain pengumuman berkala dibuat mengenai jadual perjalanan tren.
“Penumpang turut disarankan mendapatkan pengangkutan alternatif serta merujuk laman media sosial Rapid KL bagi mendapatkan status terkini perkhidmatan,” katanya.
Katanya, perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara ulang alik percuma disediakan bagi menghubungkan stesen-stesen terjejas.
“Penumpang disarankan untuk mendapatkan pengangkutan alternatif lain dan merujuk peda laman media sosial Rapid KL untuk status terkini perkhidmatan,” katanya.
Terdahulu di platform Tread, pengguna perkhidmatan tren berkongsi gambar stesen yang didakwa mengalami gangguan bekalan eletrik dengan suasana gelap dan dipenuhi orang ramai. – UTUSAN










