PETALING JAYA: Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan rel Rapid KL akan melanjutkan waktu operasi stesen sehingga pukul 12.30 tengah malam ini.
Ia bersempena perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Menerusi kenyataan, Rapid Rail memaklumkan laluan terlibat melibatkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang dan Sri Petaling di stesen Plaza Rakyat dan Hang Tuah.
Manakala Monorel di stesen Hang Tuah dan Maharajalela serta laluan Transit Aliran Massa (MRT) Kajang di Stesen Merdeka.
“Stesen-stesen sambungan akan dilanjutkan bagi membawa penumpang ke destinasi akhir. Pengguna disarankan menggunakan kad Touch’n Go dan pastikan baki kad mencukupi untuk kelancaran perjalanan,” katanya. – UTUSAN









