PETALING JAYA: Kutipan wakaf tunai Yayasan Wakaf Malaysia hanya mencecah RM140 juta pada 2024, jauh lebih rendah berbanding kutipan zakat Majlis Agama Islam Negeri sebanyak RM4.85 bilion dalam tempoh sama tahun tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, jurang ketara itu mencerminkan tahap kesedaran masyarakat terhadap wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah masih belum mencapai potensi sebenar.
Katanya, imej wakaf di negara ini masih terhad kepada sumbangan tradisional seperti tanah perkuburan, pembinaan masjid dan pengagihan al-Quran, sedangkan sejarah Islam membuktikan wakaf memainkan peranan besar dalam pembangunan tamadun.
“Institusi wakaf suatu ketika dahulu membiayai hospital seperti bimaristan di Baghdad dan Damsyik yang menyediakan rawatan percuma kepada rakyat tanpa mengira latar belakang. Selain itu, dana wakaf turut menyokong pembangunan ilmu termasuk penerbitan ensiklopedia fiqh di Kuwait.
“Ini menunjukkan wakaf bukan sekadar amal kebajikan biasa, tetapi mekanisme ekonomi sosial yang mampu memperkukuh kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh,” katanya pada Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan 2026 di sini semalam.
Dr. Zulkifli Hasan berkata, aplikasi Go Waqf akan diperkenalkan bagi memudahkan sumbangan wakaf secara digital melalui telefon pintar, dengan Yayasan Wakaf Malaysia menyasarkan kutipan RM1 juta sepanjang Bulan Wakaf Kebangsaan.
Katanya, iklan kesedaran wakaf turut disiarkan di semua stesen televisyen, manakala garis panduan baharu disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Wakaf Zakat dan Haji dan Kementerian Dalam Negeri bagi memastikan pengurusan wakaf lebih teratur dan telus.
Sementara itu, beliau berkata, lima teras turut diperkenalkan dalam memacu dan memperkasa wakaf di negara ini iaitu Pembudayaan, Literasi dan Inklusiviti Wakaf; Tadbir Urus Berintegriti, Piawaian dan Ketelusan; Memakmurkan Aset Wakaf: Dari ‘Idle’ Kepada Produktif; Wakaf Muaqqat (Bertempoh): Fleksibiliti Baharu, Impak Yang Cepat dan Pendigitalan Wakaf. – UTUSAN









