KUANTAN: Kuasa pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan bukan hadiah politik, jauh sekali suatu bentuk simpati peribadi.
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, ia sebaliknya merupakan mekanisme perlembagaan yang sah dan berfungsi sebagai imbangan terakhir dalam sistem keadilan yang bersifat menghukum
Titah baginda, kuasa pengampunan wajar dilihat dengan emosi dan jiwa yang tenang bukannya dengan kepala yang dingin ataupun sentimen berlebihan.
“Sebarang pengurangan hukuman tidak sesekali memadamkan sabitan mahkamah, tidak menghapuskan rekod kesalahan dan tidak pernah membatalkan prinsip kedaulatan undang-undang yang menjadi asas pentadbiran negara.
“Pengampunan dan pengurangan hukuman ini juga bukan eksklusif kepada satu nama, satu parti atau satu kedudukan. Setiap tahun, ratusan banduan penjara daripada pelbagai latar belakang, termasuk kes jenayah berat dan ringan, menerima pengurangan atau pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berangkat bercemar duli menghadiri Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Kali Ke-120 di Hotel Grand Darul Makmur di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah turut menekankan bahawa keputusan berkenaan tidak dibuat secara unilateral, sebaliknya diputuskan melalui musyawarah Lembaga Pengampunan yang dianggotai wakil-wakil institusi utama negara atau negeri, sekali gus mencerminkan proses semak dan imbang yang berlapis.
Baginda bertitah, dalam tradisi Raja Berperlembagaan, raja bukan alat sentimen awam dan bukan juga tunduk kepada tekanan politik, sebaliknya berperanan sebagai payung keadilan yang menenangkan ketika emosi memuncak serta mengimbangi keadaan apabila suara lantang cuba memonopoli kebenaran.
“Kuasa pengampunan tidak harus ditafsir sebagai kelemahan sistem, sebaliknya sebagai peringatan jelas bahawa negara ini tidak ditadbir berdasarkan emosi media sosial, tidak menghakimi melalui pentas politik dan tidak menggantikan perlembagaan dengan kemarahan awam,” titah baginda.
Sultan Pahang menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia akan terus kekal sebagai negara yang berprinsip dan tegas serta mendoakan agar negara ini dan negeri Pahang khususnya sentiasa berada dalam rahmat Allah. – UTUSAN










