BUKIT MERTAJAM : Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menetapkan sasaran untuk melihat kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita meningkat sehingga 60 peratus menjelang 2033.
Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, sasaran itu dibuat bersandarkan kepada penyertaan semasa golongan itu dalam pasaran kerja negara pada masa ini.
Beliau berkata, ketika ini, KPTB wanita di peringkat nasional ialah sekitar 56.9 peratus manakala Pulau Pinang pula merekodkan KPTB yang lebih tinggi iaitu sebanyak 57.6 peratus.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa golongan wanita turut memainkan peranan yang penting dalam memacu kemajuan ekonomi dan sosial negara,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa peringkat negeri di Menara Bandaraya, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di sini, hari ini.
Hadir sama Datuk Bandar MBSP, Datuk Baderul Amin Abdul Hamid; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Dr. Faridah Awang serta Pengarah Pembangunan Wanita Negeri Pulau Pinang, Ahmad Shukri Jamaluddin.
Sementara itu, Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong mahu wanita memainkan lebih peranan dalam memacu ekonomi jingga khususnya menerusi industri kreatif, digital serta berasaskan komuniti.
Pada masa yang sama katanya, kerajaan akan memberi tumpuan kepada program latihan peningkatan kemahiran dan latihan semula, terutamanya bagi menggalakkan golongan suri rumah kembali bekerja sekali gus meningkatkan lagi penglibatan wanita dalam pasaran kerja semasa.










