PARLIMEN: Rasionalisasi subsidi kurangkan ketirisan diesel lebih 300 juta liter sebulan

PARLIMEN: Rasionalisasi subsidi kurangkan ketirisan diesel lebih 300 juta liter sebulan

LIM HUI YING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Transaksi penjualan diesel mencatatkan penurunan lebih 300 juta liter sebulan selepas pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api itu pada Jun tahun lalu sekali gus menunjukkan kadar ketirisan berjaya dikurangkan.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, langkah penyasaran subsidi diesel bukan sahaja berjaya mengurangkan ketirisan, malah membolehkan kawalan lebih baik terhadap penggunaan bahan api itu untuk tujuan yang benar-benar layak menerima subsidi.

Katanya, pengurangan ketara dalam jumlah jualan diesel bersubsidi itu menunjukkan keberkesanan langkah rasionalisasi yang dilaksanakan kerajaan dalam membanteras aktiviti haram khususnya aktiviti penyeludupan.

“Penyasaran subsidi diesel telah dilaksanakan pada 10 Jun tahun lalu, di mana harga pam dinaikkan daripada RM2.15 seliter kepada RM3.35 seliter iaitu harga tanpa subsidi.

“Sebelum pelaksanaan penyasaran subsidi, purata jualan diesel bersubsidi antara Januari hingga Mei 2024 adalah sekitar 770 juta liter sebulan.

“Namun, selepas penyasaran subsidi, purata jualan bagi tempoh Jun hingga Disember 2024 menurun kepada 465 juta liter sebulan sekali gus menunjukkan pengurangan sebanyak 305 juta liter,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Chong Chieng Jen (PH–Stampin) yang meminta kerajaan menjelaskan sama ada penjualan diesel di Semenanjung dikurangkan dan berapakah jumlah penjimatan yang dicapai hasil pelaksanaan rasionalisasi subsidi sejak Jun 2024.

Hui Ying berkata, penurunan jumlah jualan diesel bersubsidi secara langsung menunjukkan pengurangan ketirisan subsidi diesel dan dijangka sebahagian besar pengurangan itu berpunca daripada penurunan kegiatan penyeludupan bahan api ke negara jiran.

“Pada masa sama, jualan diesel secara komersial meningkat selepas pelaksanaan penyasaran subsidi yang menunjukkan wujudnya penggunaan diesel bersubsidi sebelum ini bagi tujuan komersial seperti penggunaan mesin, generator elektrik di tapak pembinaan dan kilang.

“Langkah rasionalisasi subsidi diesel ini selaras dengan pendekatan Kerajaan Madani untuk memastikan subsidi diagihkan secara lebih menyeluruh, bersasar dan adil bagi mengelak pembaziran dana awam serta memastikan bantuan kerajaan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN