KPDN siasat restoran didakwa kenakan caj melampau

KPDN siasat restoran didakwa kenakan caj melampau

TANGKAP layar video tular seorang individu mendakwa sebuah restoran di Seremban 2, Seremban, Negeri Sembilan mengenakan caj melampau kepadanya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan menyiasat video tular di media sosial yang mendakwa sebuah restoran di Seremban 2 di sini mengenakan caj tidak munasabah kepada pelanggannya.

Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata,
siasatan telah dijalankan semalam yang melibatkan pemeriksaan fizikal di premis, semakan dokumen berkaitan serta penelitian terhadap tatacara penetapan dan paparan harga makanan yang dijual.

Namun katanya, hasil semakan mendapati harga yang dikenakan adalah selaras dengan harga yang dipaparkan.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan mempamerkan tanda harga di tempat yang mudah dilihat pelanggan serta mengeluarkan resit jualan bagi setiap transaksi.

“Semakan terhadap sistem di kaunter bayaran juga mendapati harga dalam sistem adalah selaras dengan harga yang dipaparkan dalam buku menu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tular di media sosial sejak semalam video yang memaparkan seorang individu mendakwa premis restoran berkenaan mengenakan caj dengan harga yang tidak munasabah.

Lelaki tersebut mendakwa berlaku perbezaan jumlah bayaran selepas dia meminta pekerja restoran itu membuat pengiraan semula dengan mendakwa harga sebenar adalah lebih rendah berbanding caj yang dikenakan pada awalnya.

Selain itu, lelaki itu juga mendakwa restoran berkenaan tidak memaparkan tanda harga di premis berkenaan.

Sementara itu, Muhammad Zahir berkata, pihak bagaimanapun telah mengeluarkan satu Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) terhadap restoran berkenaan.

Katanya, notis tersebut melibatkan dua unit simpanan stok (SKU) iaitu roti canai dan roti telur bagi tujuan mendapatkan maklumat lanjut berhubung penetapan harga yang dikenakan kepada pengguna.

Menurutnya, pemilik premis berkenaan diberikan tempoh empat hari bekerja bagi mengemukakan maklum balas lengkap bagi membolehkan semakan lanjut dijalankan oleh pihak penguatkuasa.

“Pengeluaran notis ini adalah sebahagian daripada prosedur siasatan bagi memastikan setiap maklumat diperoleh secara terperinci sebelum sebarang tindakan lanjut diambil,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN