Kolej universiti RM 15 juta bakal dibina, martabat pendidikan Ahli Sunnah Wal Jamaah

Kolej universiti RM 15 juta bakal dibina, martabat pendidikan Ahli Sunnah Wal Jamaah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Pendidikan As Sofa (SEG) bakal mengembangkan lagi sayapnya dalam bidang pendidikan apabila melancarkan pembinaan Kolej Islam As Sofa bertaraf universiti dengan anggaran kos RM15 juta di Rembau, Negeri Sembilan.

Ketua Pegawai Eksekutif SEG, Dr. Mohd. Amirul Isma Md. Yusof berkata, bangunan yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun di kawasan seluas 3,251 meter persegi itu menjadi mercu tanda ter­tinggi SEG dalam memartabatkan pendidikan berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Katanya, pembinaan bangunan kekal itu adalah syarat utama yang mesti disediakan lengkap dengan prasarana untuk dinaiktaraf menjadi kolej universiti.

“Bagaimanapun, dana masih belum mencukupi dan kami amat berbesar hati sekiranya masyarakat dan pihak korporat dapat membantu menyalurkan dana supaya pembinaan bangunan itu dapat direalisasikan.

“Pada mulanya bangunan itu hendak didirikan di Mantau, Negeri Sembilan tetapi selepas diteliti tanah di situ tidak sesuai sebelum kami beralih ke Hulu Langat, namun bekalan elektrik tidak mencukupi untuk menampung bangunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Amirul berkata, pihaknya juga turut menganjurkan pelbagai inisiatif termasuk majlis makan malam dengan dihadiri empat ulama Arab Saudi keturunan Sayyid Ahmad Ibn Idris iaitu Prof. Dr. Sayyid Toha ibn Sayyid Muhammad al Hasan al Idrisi, Sayyid Walid ibn Sayyid Muhammad al Mahdi al Idrisi, Sayyid Ali ibn Sayyid Muhammad al Mahdi al Idrisi dan Dr. Sayyid al Hasan ibn Sayyid Ali al Idrisi.

Katanya ia juga bagi me­raikan graduan As Sofa yang te­lah menamatkan pengajian pe­ringkat Sarjana dan PhD dalam tempoh lima tahun dan kejayaan Sheikh Muhammad Fuad mendapat PhD dari Universiti Mohammed V, Maghribi Disember lalu.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Kolej Islam As Sofa, Dr. Muhd. Sufi Ibrahim al Hafiz berkata, antara syarat membina kolej universiti adalah ia berupaya menampung minimum 1,000 pelajar dan mempunyai program yang diakreditasi.

“Setakat ini kami mempunyai empat program dengan dua daripadanya telah mendapat kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia.

“Kami juga sedang berusaha melengkapkan syarat-syarat lain, termasuk memastikan 60 peratus pensyarah mempunyai status PhD,” katanya.

Menurut Muhd. Sufi, bangunan itu merupakan pelengkap kepada sistem pendidikan Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS) yang bermula daripada tadika, sekolah rendah, mene­ngah dan kolej.

Katanya, YSNS mempunyai pengkhususan tersendiri di samping menyediakan pendidikan arus perdana, mereka juga menekankan tarbiah dan turath selain mempunyai hubungan eksklusif dengan Maghribi dengan menghantar lebih 170 pelajar dalam tempoh 12 tahun.

“Harapan kami adalah untuk terus bersungguh-sungguh dalam merealisasikan pemba­ngunan kampus tetap ini. Selama 14 tahun As Sofa telah menyewa bangunan, dan sudah tiba masanya untuk kami mempu­nyai bangunan sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×