Kereta peronda polis bakal dipasang dashcam - Utusan Malaysia

Kereta peronda polis bakal dipasang dashcam

MUHAMMED Hasbullah Ali menyantuni pengguna jalan raya semasa Pemantauan Zon Utara Sempena Op Selamat 25 Tahun Baharu Cina 2026 di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol arah utara, di Bagan Serai hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Semua kereta peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal dipasang kamera papan pemuka (dashcam) sebagai langkah memperkukuh ketelusan, integriti serta keberkesanan penguatkuasaan trafik di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, cadangan tersebut telah dikemukakan kepada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail untuk pertimbangan dan kelulusan.

Menurut beliau, penggunaan dashcam dalam setiap kereta peronda bukan sahaja mampu membantu aspek pemantauan dan pengumpulan bukti, malah meningkatkan tahap profesionalisme anggota ketika menjalankan tugas di lapangan.

“Langkah ini bertujuan memastikan setiap tindakan penguatkuasaan direkodkan secara telus dan boleh dijadikan rujukan sekiranya berlaku sebarang pertikaian,” katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa melakukan pemantauan Zon Utara Sempena Op Selamat 25 Tahun Baharu Cina 2026 di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol arah utara, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, aliran trafik di lebuh raya utama serta jalan Persekutuan dijangka meningkat bermula esok susulan pergerakan orang ramai kembali bekerja selepas cuti perayaan.

Katanya, pihaknya menjangkakan pertambahan jumlah kenderaan terutama dari arah utara dan selatan menuju ke ibu negara, sekali gus berpotensi menyebabkan kesesakan pada waktu puncak.

Jelasnya, sehubungan itu, seramai 10,000 pegawai dan anggota digerakkan sepanjang pelaksanaan Op Selamat dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya.

“Kita menjangkakan pergerakan kenderaan akan meningkat bermula awal pagi hingga lewat malam. Pengguna dinasihatkan supaya merancang perjalanan, mengelakkan waktu puncak serta sentiasa mematuhi arahan anggota bertugas,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN