KOTA TINGGI: Kegembiraan tiga sekawan mandi pantai di Tanjung Buloh, Sedili Kecil di sini, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka hilang, kira-kira pukul 1.17 petang ini.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohammad Hashim Ismail berkata, dua mangsa iaitu Arman Hanif, 11, dan Mohamad Soleh Hazriq Mokhtar, 16, dijumpai selamat dan dibawa mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun mangsa ketiga iaitu Putra Aniq Fairuz Mohd. Faizul, 11, masih belum ditemukan.
“Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan di sekitar kawasan mangsa dipercayai lemas menggunakan teknik ‘surface searching’,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Khairul, operasi itu melibatkan seramai 16 anggota beserta tiga jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). – UTUSAN










