Kerajaan belum rancang kawal jumlah kenderaan atasi sesak luar biasa 

Kerajaan belum rancang kawal jumlah kenderaan atasi sesak luar biasa 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum mempunyai cadangan melaksanakan dasar pengawalan jumlah kenderaan ketika ini terutamanya dalam mengurangkan kesesakan aliran trafik di Lembah Klang. 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah mitigasi kesesakan trafik sememangnya dilakukan terutamanya pada musim perayaan namun peningkatan jumlah kenderaan tetap menjadi cabaran besar. 

Menurutnya, sehingga tahun lepas, Malaysia telah menjual sebanyak 820,000 kenderaan dalam negara.  

“Kalau cakap ada dasar untuk end of life dan sebagainya, nanti akan ada masalah lain atau aduan lain. 

“Jadi sementara ini, kita belum ada apa-apa dasar dari segi pengawalan (jumlah) kenderaan tetapi untuk jangka masa panjang, kita kena melihat perkara ini. Bagaimana untuk memastikan jumlah kenderaan.

“Tahun lepas kita menjadi pasaran kenderaan yang paling besar di seluruh Asia Tenggara walaupun jumlah penduduk kita hanya lebih 30 juta, kita jual kereta lebih banyak daripada Indonesia dan Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Edaran Pek Cenderahai kepada penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di ibu negara hari ini. .

Tambah Anthony Loke, Malaysia masih merupakan negara yang bersifat car centric sekali gus memerlukan pendekatan berperingkat bagi mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan akan terus memperkukuh sistem pengangkutan awam sebagai alternatif kepada rakyat.

Katanya, ia termasuk mempercepatkan pembukaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) laluan Shah Alam dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Ia sebagai salah satu langkah mitigasi untuk memberikan pilihan kepada masyarakat awam . Bukan kita tidak mahu membuka LRT 3 lebih awal namun terdapat ujian-ujian yang perlu dipatuhi sebelum ia boleh dibuka kepada orang ramai,” katanya. 

Dalam pada itu, katanya, usaha memperluas dan menambah baik pengangkutan awam merupakan antara langkah penting bagi mengurangkan kebergantungan rakyat terhadap kenderaan persendirian, sekali gus menangani isu kesesakan. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN