KUALA LUMPUR: Kesesakan lalu lintas luar biasa yang berlaku di sekitar ibu negara sejak awal minggu ini disebabkan peningkatan mendadak jumlah kenderaan khususnya menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, data kemasukan setiap hari jumlah kenderaan yang masuk ke ibu negara mencatatkan jumlah lebih tiga juta kenderaan sejak 1 Februari hingga semalam.
Malah, beliau turut menjangkakan peningkatan dua kali ganda jumlah kenderaan di ibu negara menjelang perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 17 Februari ini.
“Tumpuan orang ramai ke pusat bandar untuk membeli-belah turut menyumbang kepada pertambahan jumlah trafik.
“Ini adalah cabaran untuk kita dan ada kawasan hotspot yang kita kenal pasti untuk kita lipat gandakan kawalan keselamatan termasuk kawasan tumpuan orang ramai.
“Dalam masa sama, kejadian kemalangan, halangan kenderaan di jalan raya pada waktu puncak serta faktor cuaca yang menyebabkan pergerakan kenderaan lebih perlahan turut menyumbang kepada kesesakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026 Kontinjen Kuala Lumpur di pusat beli-belah Pavilion di sini, hari ini.
Susulan itu, Fadil berkata, pihaknya melaksanakan Op Lancar bermula 11 hingga 22 Februari bagi memastikan kelancaran trafik melalui penugasan anggota di lokasi strategik.
Beliau berkata, pihaknya turut mengenal pasti lokasi-lokasi yang kerap berlaku kesesakan dan kemalangan di sekitar ibu negara.
“Sebanyak 15 lokasi titik hitam dikesan antaranya Jalan Kuching, Jalan Tun Razak, Jalan Sungai Besi, Jalan Damansara, Jalan Kepong dan Lebuh Raya Sultan Iskandar.
“Selain itu, kjta turut mengenal pasti kira-kira 30 lokasi panas iaitu Bulatan Segambut, Bulatan Kepong, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang, Jalan Yap Kwan Seng, Bulatan Kampung Pandan dan Jalan Istana,” katanya.
Justeru, pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi peraturan lalu lintas, patuh pada arahan penguatkuasaan supaya aliran trafik dapat dilaksanakan dengan baik.- UTUSAN










