Kepertama sambut pelantikan Jailani, harap perkasa hala tuju UPM

Kepertama sambut pelantikan Jailani, harap perkasa hala tuju UPM

Presiden Kesatuan Kakitangan Am Universiti Putra Malaysia (Kepertama), Norsyahriman Md. Arif
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesatuan Kakitangan Am Universiti Putra Malaysia (Kepertama) menyambut baik pelantikan Datuk Seri Jailani Johari sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pelantikan itu dibuat oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, yang berkuat kuasa 7 Februari lalu.

Presidennya, Norsyahriman Md. Arif berkata, pelantikan itu dilihat sebagai keputusan tepat selain berharap tanggungjawab tersebut digalas sebaik mungkin demi kemajuan universiti.

Katanya, terdapat empat perkara yang diharapkan dapat menjadi titik tolak kepada pengukuhan serta pembaharuan hala tuju universiti, khususnya dalam memastikan reputasi UPM terus diperkasa.

Antara perkara yang diharapkan termasuk memperluas jaringan strategik dalam dan luar negara bagi meningkatkan keterlihatan serta imej UPM.

Selain itu, perhatian juga perlu diberikan kepada cabaran semasa seperti keterjaminan makanan negara, kemampanan kewangan universiti dan kebajikan staf.

“Kepertama berpandangan pelantikan ini merupakan keputusan tepat dan mengharapkan agar Pengerusi LPU UPM yang baharu akan sedaya upaya memikul amanah dan menggalas tanggungjawab besar ini dengan sebaik yang mungkin.

“Kepertama juga mengharapkan agar Pengerusi LPU UPM akan mempunyai kesungguhan dan membuat pemantauan rapi terhadap tadbir urus dan tata kelola UPM,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, tambah Norsyahriman, pihaknya sedia bekerjasama dan berkongsi pandangan dengan pengurusan universiti pada bila-bila masa, sambil menegaskan suara warga kampus penting diberi perhatian.

“Kepertama sentiasa terbuka dan bersedia untuk dipanggil pada bila-bila masa bagi berbincang dan berkongsi pandangan mengenai apa sahaja yang berkaitan dengan hal ehwal universiti.

“Suara akar umbi yang dibawa oleh Kepertama amat penting untuk didengari dan diberi perhatian kerana sebarang perancangan dan keputusan yang akan dibuat seeloknya mengambil kira impak kepada pemegang taruh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN