Keluarga maklum keputusan tidak bertudung – Aprena Manrose

Keluarga maklum keputusan tidak bertudung, pesan jangan tinggal solat – Aprena Manrose

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Aprena Manrose mengakui sudah berterus terang dengan keluarganya mengenai keputusannya untuk tidak lagi berhijab.

Menurut Aprena atau  Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 33, bapanya yang juga penyanyi dangdut, Iwan Syahman menghormati keputusan tersebut namun menasihatinya agar tidak meninggalkan solat.

“Selagi perkara itu ayah dan keluarga saya tahu, itu sudah memadai. Saya rasa tidak perlu untuk saya kongsikan secara terperinci apa yang berlaku.

“Ayah saya juga faham keputusan tersebut dan responsnya ringkas sahaja, tidak mengapa asalkan saya tidak meninggalkan solat,” katanya.

Aprena ditemui pada Sidang Media Puasa Raya RTM 2026, di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Aprena berkata, dia sudah menjangkakan kecaman serta komen negatif daripada warga maya susulan penampilannya tidak lagi bertudung menerusi drama vertikal Nur Untuk Ariff.

Bagaimanapun, jelasnya, dia memilih untuk tidak terlalu memikirkan reaksi tersebut demi menjaga kesihatan mentalnya.

“Saya tidak ada jawapan yang khusus kerana bimbang hari ini lain, esok lain pula. Setiap orang ada ujian masing-masing.

“Mungkin ini fasa saya, hati saya rasa ingin melakukan sesuatu untuk diri sendiri. Saya tidak mahu terlalu memikirkan pandangan orang kerana jika difikirkan, saya sendiri boleh tertekan,” ujarnya.

Mengulas penampilannya dalam drama berkenaan, Aprena menegaskan keputusan tersebut dibuat atas kehendaknya sendiri tanpa sebarang paksaan daripada pihak produksi.

“Saya ditawarkan watak tersebut dan dimaklumkan bahawa watak itu tidak bertudung. Saya bersetuju dan penggambaran juga dilakukan dalam tempoh yang singkat.

“Penggambaran dibuat pada Disember dan ditayangkan Januari. Saya sangka apabila drama ditayangkan barulah orang akan bercakap, namun rupanya ketika sesi fotografi promosi lagi sudah ada reaksi,” katanya.

Aprena turut mengakui sudah lali dengan kecaman warga maya, namun mengakui tersentuh apabila ada pihak yang mengaitkan keputusannya tidak berhijab dengan isu zuriat.

“Saya faham mungkin ada yang menegur kerana sayang, tetapi ada komen seperti ‘patutlah tidak dapat anak’ yang saya rasakan langsung tidak ada kaitan.

“Saya sudah sembilan tahun berkahwin tanpa dikurniakan cahaya mata dan perkara itu sudah biasa bagi saya. Namun saya tertanya-tanya, selepas bercerai pun masih mahu bercakap soal anak?

“Cukuplah. Jika saya mengandung tanpa suami nanti, lain pula ceritanya. Astaghfirullahalazim,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN