KUALA TERENGGANU: Terengganu menetapkan kadar minimum zakat fitrah bagi tahun ini kekal RM10 seorang.
Bagaimanapun, satu lagi kategori bagi individu yang memakan beras premium jenis basmathi dan setara dengannya ditetapkan sebanyak RM20 seorang, iaitu penurunan RM1 berbanding tahun lalu.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Zulkifli Ali berkata, penetapan kadar zakat fitrah itu adalah berdasarkan nilai segantang Baghdad atau 2.60 kilogram beras yang menjadi makanan ruji umat Islam di negeri ini.
“Kadar minimum zakat fitrah RM10 itu berdasarkan harga jualan beras super import dan Siam di negeri ini. Tinjauan mendapati rata-rata umat Islam Terengganu memakan beras gred tersebut memandangkan beras gred super tempatan lima peratus sukar didapati,” katanya dalam sidang media pada Pengumuman Ketetapan Kadar Zakat Fitrah tahun 1447H/2026M di Auditorium Jabataan Hal Ehwal Agama Terengganu, di sini.
Zulkifli berkata, pembayaran zakat fitrah boleh dilakukan kepada 906 amil bertauliah yang dilantik di seluruh Terengganu.
Selain itu, bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah, kemudahan menerusi transaksi tanpa tunai melalui laman sesawang rasmi Maidam turut disediakan.
Sementara itu, beliau berkata, Maidam menyasarkan kutipan zakat fitrah kira-kira RM13 juta pada tahun ini.
Beliau berkata, kebiasaannya kebanyakan umat Islam di negeri ini membayar zakat fitrah melebihi kadar minimum yang ditetapkan. – UTUSAN










