KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Terengganu ( Maidam) menguatkuasakan enakmen pungutan derma tanpa kebenaran di negeri ini bagi mengelak penyalahgunaan dana awam.
Perkara itu berdasarkan subseksyen 90(4), Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 2001 iaitu mana-mana pihak yang berhasrat menjalankan pungutan derma hendaklah mendapat kebenaran daripada Maidam.
Yang Dipertua Maidam, Datuk Zulkifli Ali berkata, pihaknya memandang serius isu pungutan derma tanpa kebenaran yang berlaku di seluruh negara termasuk di Terengganu.
“Sepanjang tahun lalu , sebanyak 23 kes pungutan derma tanpa kebenaran diambil tindakan dan didakwa di Mahkamah Syariah.
“Justeru itu, pada tahun ini, Maidam dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu memperkasa lagi penguatkuasaan terhadap Kes yang lmeibatkan pungutan derma tanpa kebenaran bagi mengelak penyalahgunaan dana awam,” katanya pada majlis Pengumuman Ketetapan Kadar Zakat Fitrah tahun 1447H/2026M di Auditorium Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, di sini.
Zulkifli berkata, kegagalan mematuhi peruntukan itu adalah menjadi satu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali di bawah enakmen 90(5) enakmen sama.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maidam , Professor Dr. Azrin Adnan berkata, pihak yang mendapatkan kebenaran menjalankan kutipan derma mempunyai kemudahan pembayaran tanpa wang tunai melalui kod respons pantas (QR).
“Pihak tersebut boleh menunjukkan QR sebelum kutipan derma dibuat,” katanya. – UTUSAN










