PETALING JAYA: Sebanyak 1,493 kandungan berkaitan isu melibatkan agama, raja dan kaum (3R) telah diturunkan setakat ini susulan pemantauan berterusan pihak berkuasa.
Langkah itu hasil pemantauan melibatkan kerjasama rapat antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan pengendali platform digital antarabangsa.
Menteri Komunikasi, Datuk fahmi Fadzil berkata, tindakan tersebut dibuat susulan 2,486 aduan yang diterima berkaitan permohonan penurunan kandungan sensitif, sepanjang 1 Januari 2025 hingga 31 Januari 2026.
Katanya, walaupun Mahkamah Persekutuan mengiktiraf kebebasan bersuara, hak itu tidak bersifat mutlak hingga membolehkan fitnah atau provokasi melampau, khususnya membabitkan isu 3R.
“Keputusan Mahkamah Persekutuan menunjukkan kita ada hak untuk bersuara, tetapi tidak ada hak untuk memfitnah atau mengeluarkan kata-kata bersifat 3R.
“Walaupun kita telah meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), khususnya Seksyen 233(1), yang tidak lagi mengguna pakai perkataan jelik, tetapi menggunakan jelik melampau, masalah ataupun mesej 3R itu masih dianggap satu jenayah dan boleh diambil tindakan,” katanya ketika ditemui sempena Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Lembah Pantai, hari ini.
Pada perkembangan lain, mengulas hak untuk berhimpun, Fahmi berkata, rakyat Malaysia berhak berhimpun secara aman, namun ia tidak boleh dijadikan medium mencetus perpecahan atau menjejaskan keselamatan negara. – UTUSAN










