Kawalan sempadan diperkukuh, tangani ancaman geopolitik serantau - Saifuddin

Kawalan sempadan diperkukuh, tangani ancaman geopolitik serantau – Saifuddin

SAIFUDDIN Nasution Ismail menghadiri taklimat tertutup ketika melakukan lawatan ke Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Kerajaan akan memperketat kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara susulan perubahan geopolitik serantau yang semakin dinamik dan berpotensi mengundang pelbagai ancaman keselamatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tumpuan meningkatkan keupayaan itu perlu disegerakan memandangkan Malaysia terdedah kepada konflik sempadan negara jiran, ketidaktentuan ekonomi serantau serta ancaman jenayah rentas sempadan.

Menurut beliau, kegiatan penyeludupan dadah, senjata, pemerdagangan manusia serta penyeludupan migran merupakan antara ancaman utama yang perlu dibendung di peringkat pintu masuk.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkara pertama, kalau mereka mahu masuk ke negara kita, mereka mesti bolos di sempadan. Jadi dalam keadaan geopolitik yang dinamik ini, kita kena tingkatkan keupayaan kerana insiden yang berlaku bukan sesuatu yang terpisah.

“Apabila ada aksi, akan mengundang reaksi. Apabila kita ketatkan kawalan dan bertindak habis-habisan terhadap pelaku, pasti ada pihak yang tak senang dan apabila tak senang mereka tidak akan berpeluk tubuh, sebaliknya mengatur gerak dalam pelbagai bentuk tindak balas,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, beliau melakukan lawatan ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, susulan insiden menimpa Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir di sini.

Saifuddin menegaskan, Malaysia mahu mengekalkan keamanan yang dikecapi ketika ini apabila berada pada kedudukan ke-13 daripada 165 negara dalam Indeks Keamanan Global, manakala di rantau Asia Pasifik hanya di belakang Singapura dan New Zealand.

Katanya, kedudukan itu memberi keyakinan kepada pelabur untuk membawa masuk modal, sekali gus menyumbang kepada petunjuk ekonomi makro yang positif.

Bagaimanapun, ujarnya perkara itu tidak boleh diambil mudah kerana ancaman tetap wujud sekiranya kawalan sempadan tidak diperketat, yang kini memerlukan pihaknya mengaktifkan protokol keselamatan dan kawalan parameter sebagai langkah ke hadapan.

“Antara tindakan awal adalah semak semula undang-undang dan peraturan sedia ada termasuk Akta AKPS serta akta-akta berkaitan. Kita akan lihat sama ada peruntukan undang-undang ini memadai atau perlu dipinda dan diperkemaskan termasuk SOP pemeriksaan, penahanan dan pelepasan,” katanya.

Selain itu, Malaysia turut akan menilai semula pematuhan terhadap konvensyen antarabangsa seperti piawaian Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bagi kawalan wilayah maritim dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi ruang udara.

Dari sudut operasi pula, Saifuddin menegaskan keperluan perkongsian maklumat secara menyeluruh antara tentera, polis, imigresen dan kastam perlu dilakukan tanpa masing-masing bergerak sendiri.

“Tak boleh lagi wujud keadaan ‘working in silo’. Kita tak boleh lukis sempadan masing-masing, kita saling memerlukan kerana perkongsian risikan dan data adalah satu kemestian,” katanya.

Dalam masa sama, ujar beliau, sistem kawalan akses berlapis akan diperkasakan sementara menunggu pelaksanaan penuh Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NICE) yang dijangka siap sepenuhnya pada 2029.

“Buat masa ini, pelaksanaan NICE pada fasa reformasi pintu masuk termasuk pemasangan 635 autogate di semua pintu masuk negara serta sistem saringan awal penumpang. Tapi ancaman berlaku sekarang, bukan tunggu 2029. Jadi sementara fasa lengkap, kita laksanakan akses berlapis dengan sistem biometrik dan pengesahan identiti yang lebih ketat,” katanya. – UTUSAN

KEPSYEN

SAIFUDDIN Nasution Ismail menghadiri taklimat tertutup ketika melakukan lawatan ke Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini