TAMBUNAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun rentung dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Patau di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, seorang perempuan berumur 31 tahun turut mengalami kecederaan dalam tragedi itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamatan (BBP) Tambunan, Mitchell Francis George berkata, kedua-dua mangsa adalah warga negara Malaysia.
“Bomba yang menerima panggil kecemasan mengenai kejadian itu tiba di lokasi jam 4.26 pagi dan mendapati dua rumah dan tiga kenderaan sedang terbakar,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan ketika menyelamatkan diri daripada kebakaran dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, kanak-kanak perempuan yang ditemui rentung dalam sebuah bilik diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Kejadian itu turut memusnahkan tiga kenderaan dipercayai milik penghuni rumah terbabit.
Mitchell berkata, operasi pemadaman kebakaran itu membabitkan lapan anggota dari BBP Tambunan ditamatkan jam 7 pagi selepas memastikan keadaan terkawal. – UTUSAN










