PADANG TERAP: Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut dipercayai akibat lemas dalam sebuah kolam ikan di Kampung Perik, Kuala Nerang, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.15 petang itu, mangsa, Ayyash Ahmad Sajid Ahmed meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam ketika dia menerima rawatan di Hospital Jitra, Kubang Pasu, dekat sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Affzanisham Mohammad Sham berkata, kanak-kanak itu pada awalnya bermain pasir di kawasan kolam ikan berhampiran rumah.
“Ibu bapa mangsa kemudian menyedari anak lelaki mereka tiada di situ sebelum mencarinya di kawasan sekitar.
“Mereka akhirnya menemui kasut mangsa terapung di dalam kolam ikan dan mendapati mangsa tidak sedarkan diri disyaki akibat terjatuh ke dalam kolam itu,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat dan punca kematian adalah akibat lemas. – UTUSAN










