SEREMBAN: ‘Ini pengajaran besar untuk saya.’ Demikian luahan dua lelaki yang menjadi individu terawal di Negeri Sembilan dikenakan perintah khidmat masyarakat selepas membuang puntung rokok di tempat awam.
Mohd. Hashim Mohd. Nor, 37, berkata, dia tidak pernah menyangka perbuatan yang dianggap remeh itu membawa kepada hukuman berat, apatah lagi apabila peraturan berkenaan baru sahaja dikuatkuasakan.
“Saya memang tidak tahu tentang pelaksanaan peraturan tersebut kerana tidak ada maklumat. Tahu-tahu sudah kena sebab di kawasan itu pun memang sudah ada banyak puntung rokok yang dibuang di situ.
“Bila diberitahu denda maksimum boleh mencecah RM2,000 dan saya juga ada minta supaya dikurangkan kerana RM600 itu pun sudah besar nilainya bagi kami yang hidup dalam keadaan kos sara hidup semakin tinggi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa menjalani perintah khidmat masyarakat di Bandar Nilai, Seremban hari ini.
Mohd Hashim yang bekerja sebagai Polis Bantuan berkata, dia mempunyai lima orang tanggungan selain perlu membayar sewa rumah hampir RM700 serta perbelanjaan harian yang semakin meningkat.
“Bukan kami tak nak ikut undang-undang. Tetapi bila peraturan baharu ni tak diwar-warkan secara meluas, orang biasa macam kami memang tidak tahu. Kalau ada papan tanda atau hebahan lebih awal, mungkin perkara ini tidak jadi,” katanya.
Tambahnya, tong sampah perlu disediakan secukupnya di tempat awam bagi mengelakkan orang ramai membuang sampah sesuka hati.
Sementara itu, seorang lagi pesalah, Herrykurniawan, 25, mengakui kesalahan tersebut berpunca daripada kecuaian diri serta kurang kesedaran terhadap penguatkuasaan baharu.
“Ketika itu saya pergi sambutan tahun baru. Sekitar pukul 1 pagi, saya tengah duduk isap rokok lalu membuang puntung rokok. Ada pegawai yang nampak lalu terus tahan saya. Masa tu terkejut juga sebab ingatkan pegawai kesihatan, rupa-rupanya penguatkuasa SWCorp,” katanya.
Herrykurniawan berkata, dia yang insaf perbuatan tersebut kerana denda RM600 yang dikenakan bukan jumlah kecil buat dirinya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Semalam, media melaporkan dua lelaki termasuk seorang polis bantuan didenda RM600 serta diperintahkan menjalani perintah khidmat masyarakat oleh Mahkamah Sesyen Seremban atas kesalahan membuang puntung rokok di tempat awam pada bulan lalu. – UTUSAN








