Tindakan tegas cegah buang sampah merata-rata di Jalan Seremban-Kuala Pilah

Tindakan tegas cegah buang sampah merata-rata di Jalan Seremban-Kuala Pilah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tindakan selaras dengan pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat bagi kesalahan membuang sampah kecil yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari tahun depan akan diambil kerajaan negeri bagi menangani isu pembuangan sampah merata-rata.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J. Arul Kumar berkata, tindakan itu termasuk bagi mencegah isu sampah bertaburan di sebuah kawasan lapang di Jalan Seremban-Kuala Pilah di sini.

“Sampah yang bersepah di kawasan itu sebenarnya dibuang oleh pengguna jalan raya tidak bertanggungjawab yang singgah seketika sebelum meneruskan perjalanan.

“Bermula tahun hadapan tindakan boleh diambil ke atas orang yang membuang sampah ini. Jadi, kita akan ambil tindakan yang lebih tegas di bawah peraturan ini,” katanya ketika dihubungi.

Utusan Malaysia pada 4 November lalu melaporkan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengguna jalan raya yang membuang sampah merata-rata telah mencemarkan satu kawasan lapang Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran sebuah stesen minyak di sini.

Tinjauan mendapati kawasan yang menjadi lokasi persinggahan pengguna jalan raya untuk berhenti seketika sebelum meneruskan perjalanan itu dipenuhi plastik makanan dan minuman.

Sementara itu, Arul Kumar berkata, kerajaan negeri turut akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi strategik bagi memantau dan mengesan individu yang masih berdegil membuang sampah di kawasan awam.

“Kita juga sudah letak papan tanda larangan membuang sampah di beberapa simpang. Selain itu, saya akan meminta Majlis Bandaraya Seremban (MBS) meneliti kaedah terbaik untuk memasang CCTV di kawasan tertentu bagi tujuan penguatkuasaan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN