PETALING JAYA: Pelakon, Hannah Delisha memaklumkan dia tidak memerlukan pengambalian sebarang suntikan untuk mendapatkan berat badan yang ideal.
Menurut Hannah, dia lebih selesa menurunkan berat badan dengan melakukan senaman di gimnasium tanpa mengambil suntikan atau ubat-ubatan tertentu.
“Saya masih berkemampuan untuk bersenam di gimnasium. Buat masa sekarang memang saya tidak perlukan suntikan tertentu untuk turunkan berat badan.
“Memanglah suntikan untuk kurus ini berkesan. Tapi ia masih perlu disesuaikan dengan keadaan tubuh kita.
“Dan saya pun sudah gembira berat badan yang saya miliki sekarang. Tak perlu saya turunkan lagi.
“Khuatir kalau terlalu kurus nanti disangka yang bukan-bukan pula,” katanya.
Hannah atau nama sebenarnya Hannah Adlina Blackburne Birch dalam pada itu percaya dengan keberkesanan senaman dalam membuatkan seseorang itu sihat dan awet muda.
“Saya ada menonton video dalam laman sosial yang menunjukkan perbezaan ketara dua individu berusia 80 tahun yang salah satunya aktif bersenam. Memang nampak berbeza.
“Contoh itu membuktikan yang kita ini sebenarnya memang kena bersenam supaya kita kekal sihat dan kuat walaupun sudah lanjut usia,” kongsinya lagi.
Pelakon kelahiran Singapura itu dalam masa yang sama tidak menolak keberkesanan gaya hidup sihat dalam mengawal tahap tekanan yang dihadapi manusia.
“Tujuan saya bersenam adalah selain untuk sihat, juga untuk menghilangkan stress.
“Saya tak tahu kenapa, setiap kali selepas bersenam saya akan rasa seronok dan badan jadi lebih segar. Tentu ada penjelasan pada sudut sains mengenai perkara ini,” ujarnya. – UTUSAN









