PETALING JAYA: Pemberian nombor giliran tanpa had sepanjang waktu operasi di semua pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara telah dimulakan sejak 13 Januari lalu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya mendengar rungutan masyarakat berhubung isu nombor giliran habis, walaupun waktu operasi pejabat masih belum tamat.
“JPJ ingin menegaskan bahawa pendekatan baharu ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan jabatan dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih responsif, telus dan berorientasikan pelanggan.
“Situasi nombor giliran habis sebelum ini bukanlah disebabkan penutupan awal kaunter, sebaliknya berdasarkan penetapan had kapasiti harian mengikut keupayaan sebenar operasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Aedy Fadly berkata, sebelum ini had nombor giliran dibuat berdasarkan keupayaan sumber manusia, tempoh masa perkhidmatan dan jenis urusan yang memerlukan pemeriksaan serta pengesahan fizikal.
“Tujuannya adalah untuk memastikan setiap pelanggan yang menerima nombor dapat dilayan dengan sempurna dalam waktu operasi yang ditetapkan tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan.
“Sistem JPJeQ sepanjang 2025 mengeluarkan sebanyak 9.3 juta nombor giliran dengan purata sekitar 39,000 nombor giliran sehari di seluruh negara.
“Angka ini mencerminkan jumlah kehadiran pelanggan yang tinggi dan kebergantungan signifikan terhadap perkhidmatan kaunter fizikal,” katanya.
Beliau berkata, persepsi negatif timbul melibatkan pelanggan yang hadir lewat tidak memperoleh nombor giliran walaupun kaunter masih dibuka.
“JPJ mengambil maklum keresahan orang ramai. Justeru, kita sudah membuat keputusan untuk menambah baik pendekatan sedia ada supaya tiada lagi persepsi bahawa pelanggan dinafikan hak untuk mendapatkan perkhidmatan.
“Bagaimanapun, pelanggan masih perlu mendapatkan nombor giliran melalui sistem JPJeQ. Pendekatan ini penting bagi membolehkan pelanggan merancang kehadiran lebih awal serta membantu pihak pejabat menguruskan aliran pelanggan secara sistematik dan tersusun,” katanya. – UTUSAN









