'Jawatankuasa bahagian Bersatu tiada hak umum pembubaran'

‘Jawatankuasa bahagian Bersatu tiada hak umum pembubaran’

HARRIS IDAHAM ABDUL RASHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Tidak ada mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) setakat ini yang membenarkan jawatankuasa bahagian mengumumkan pembubaran masing-masing.

Ketua Penerangan Armada Bersatu, Harris Idaham Abdul Rashid berkata, sebaliknya, perkara tersebut adalah dalam bidang kuasa Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dipengerusikan oleh Presiden sahaja.

Pada masa yang sama, beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Balik Pulau berkata, badan perhubungan Bersatu negeri juga tidak mempunyai hak untuk mengumumkan atau mengesahkan pembubaran bahagian dalam negeri masing-masing dan undang-undang yang sama terpakai kepada sayap-sayap parti.

“Menjadi ahli, memegang atau meletakan jawatan adalah hak individu yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan Perkara 10 Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

“Tetapi, untuk mengumumkan pembubaran bahagian, jawatankuasa atau individu termasuk ketua bahagian, tidak mempunyai hak sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, dua bahagian Bersatu di Pulau Pinang iaitu Kepala Batas dan Tanjong, mengumumkan pembubaran jawatankuasa masing-masing termasuk meletak jawatan dan keluar parti.

Terbaharu, Srikandi Bersatu Bahagian Bukit Gelugor di sini turut berbuat demikian selepas dikatakan telah mengambil kira pandangan serta pendirian majoriti pimpinan dan ahli di peringkat bahagian.

Mengulas lanjut, Harris Idaham berkata, Armada Bersatu menyarankan kepada pihak media supaya menunggu pengumuman daripada Setiausaha Agung berkenaan status bahagian dan tidak melaporkan berkenaan pembubaran sebelum ia diputuskan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi,

Bagi peletakan jawatan pula katanya, perkara itu bukanlah satu masalah untuk dilaporkan kerana keputusan meletakkan jawatan adalah hak masing-masing.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN