KUALA LUMPUR: Jalan raya awam yang dibina di atas tanah milik kerajaan tidak dibenarkan untuk dijual atau diserahkan kepada pihak swasta kerana ia merupakan aset strategik negara serta kemudahan awam yang perlu dikekalkan untuk kegunaan rakyat.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pendirian itu terpakai khususnya terhadap jalan utama yang menjadi sebahagian daripada rangkaian pengangkutan awam negara.
“Kerajaan tidak membenarkan jalan raya awam yang dibina di atas tanah milik Kerajaan dijual atau diserahkan kepada pihak swasta, khususnya jalan utama kerana ia merupakan aset awam dan strategik negara,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Prabakaran Parameswaran (PH-Batu) yang memintanya menyatakan adakah Kementerian akan membenarkan jalan raya yang dibina atas tanah milik kerajaan dijual atau diserahkan kepada pihak swasta
Menurut beliau, bagaimanapun dalam keadaan tertentu, penglibatan pihak swasta masih dibenarkan tetapi terhad kepada aspek pengurusan atau penyelenggaraan melalui perjanjian konsesi.
Katanya, pendekatan tersebut tidak menjejaskan pemilikan Kerajaan ke atas tanah berkenaan atau mengubah status jalan tersebut sebagai jalan awam yang boleh diakses orang ramai.
Dalam pada itu, menurut Ibrahim, setiap cadangan penutupan, pelupusan atau perubahan status jalan adalah tertakluk kepada pewartaan serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Antara perundangan terlibat termasuk Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 serta Kanun Tanah Negara 1965,” katanya.
Tambahnya, proses tersebut melibatkan penelitian teknikal oleh Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan, diikuti kelulusan pihak berkuasa negeri sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Sekiranya melibatkan akses awam, penyediaan laluan alternatif yang setara atau lebih baik juga menjadi keperluan sebelum sesuatu perubahan dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN










