Guan Eng cadang isu Azam dibawa ke Parlimen

Guan Eng cadang isu Azam dibawa ke Parlimen

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menegaskan bahawa isu melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, wajar dibahaskan sebagai satu usul di Parlimen sebelum sidang berakhir pada 3 Mac ini.

Guan Eng berkata, pendirian itu selaras dengan cadangan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 2022, ketika beliau masih menjawat jawatan Setiausaha Agung DAP. 

Beliau berkata, pada ketika itu, Majlis Presiden PH menggesa agar Azam serta dua individu lain digantung tugas berhubung skandal pegangan saham bagi membolehkan siasatan bebas dijalankan.

“Pada masa tersebut, Azam terlibat dalam kontroversi pegangan saham yang serupa berhubung pemilikan 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad (dahulunya KBES Berhad) pada 30 April 2015, yang bernilai kira-kira RM772,000 pada waktu itu.

“Pegangan saham beliau dalam Gets Global Berhad menurun kepada 1,029,500 saham setakat 31 Mac 2016, yang bernilai sekitar RM340,000 ketika itu. Beliau juga memegang 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.

“Kini, Azam sekali lagi terlibat dalam kontroversi pegangan saham yang serupa apabila rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendedahkan bahawa beliau pada satu ketika tahun lalu memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Berhad serta kira-kira 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad.

“Sepertimana yang dicadangkan oleh Majlis Presiden PH pada tahun 2022, saya juga bersetuju bahawa isu ini wajar dibahaskan sebagai satu usul khusus di Parlimen sebelum sidang semasa berakhir pada 3 Mac 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhid­matan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Bloomberg turut mendakwa SPRM termasuk pegawai atasan suruhanjaya itu, bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam beberapa tindakan untuk menyingkirkan pesaing dan mengambil alih syarikat secara paksa.

Bagaimanapun, Azam mene­gaskan pegangan saham milik­nya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut proses. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN