Jadi wakil rakyat, kes gangguan seksual paling beri kesan - Mulan Jameela - Utusan Malaysia

Jadi wakil rakyat, kes gangguan seksual paling beri kesan – Mulan Jameela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penyanyi dan selebriti terkenal Indonesia, Mulan Jameela, mengakui tanggungjawab sebagai wakil rakyat bukan satu tugas yang mudah, malah sarat dengan cabaran emosi terutama apabila berdepan kes-kes melibatkan penderaan dan gangguan seksual.

Dia yang merupakan anggota Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (DPR RI) setelah dilantik semula untuk penggal 2024 hingga 2029, mengakui sejak bergelar anggota parlimen, dia bukan sahaja perlu memikul amanah masyarakat, tetapi juga berhadapan dengan pelbagai kisah rakyat yang menyentuh perasaan dan memerlukan penyelesaian yang bukan mudah.

“Yang paling terasa berat buat saya adalah mengendalikan kes-kes mangsa penderaan dan gangguan seksual. Itu memang sangat berat. Terutama melibatkan wanita dan kanak-kanak. Banyak juga kisah atau kes yang memang menyentuh hati.

“Ada juga lelaki yang menjadi mangsa daripada isterinya. Itu pun ada. Dan sekarang ini saya juga sedang membantu kes seperti itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Mulan, setiap kisah yang didengari memberi kesan mendalam sehingga ada kalanya dia sendiri tidak mampu menahan emosi.

“Kadang-kadang saya menangis apabila mendengar kisah mereka. Memang melekat di hati. Hinggakan, ada ketika apabila pulang ke rumah pun,saya masih teringat-ingat kembali kisah mangsa, terasa berat sangat. Kes-kes seperti ini bukan sedikit, sebenarnya banyak berlaku,” katanya.

Isteri vokalis kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani ini turut mendedahkan bahawa kebanyakkan kes penderaan dan gangguan seksual tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa kerana mangsa berasa takut atau tidak berani tampil ke hadapan.

“Kebanyakan kes ini sebenarnya tidak dilaporkan. Yang datang kepada saya pun kadang-kadang bukan mangsa sendiri, tetapi jiran atau orang lain yang mengadu. Mungkin mereka takut.

“Kes seperti ini memang tidak boleh selesai begitu sahaja. Ia meninggalkan kesan emosi dan mental kepada mangsa. Jadi kita bukan hanya fikir bagaimana hendak menyelesaikan kes terhadap pelaku, tetapi juga bagaimana menjaga dan memulihkan mangsa dalam jangka masa panjang,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mulan berkata, sebagai wakil rakyat, tanggungjawab itu bukan sekadar kerja semata-mata, sebaliknya amanah yang perlu difikirkan secara berterusan.

“Sebab itu saya katakan, apabila balik ke rumah, ia bukan sekadar teringat, tetapi memang harus difikirkan. Itu tanggungjawab. Kita tidak boleh anggap ia selesai selagi belum benar-benar selesai,” katanya.

Dalam masa sama, Mulan menegaskan bahawa perjalanan sebagai wakil rakyat bukan satu pilihan mudah, sebaliknya satu amanah yang perlu dipikul dengan penuh kesedaran.

“Bagi saya, ini bukan soal memilih antara menjadi seniman atau wakil rakyat. Kedua-duanya adalah tanggungjawab yang harus saya jalani. Saya masih seorang seniman, tetapi pada masa yang sama Allah beri amanah lain untuk membantu masyarakat.

“Kalau sebagai seniman, kita menghiburkan orang supaya mereka gembira. Sebagai wakil rakyat pula, saya ingin membantu memberikan solusi kepada masyarakat, supaya mereka juga dapat hidup dengan lebih baik dan bahagia,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mulan turut mengakui bahawa penglibatannya dalam dunia politik membuka ruang untuk dirinya lebih memahami realiti kehidupan masyarakat, termasuk sisi-sisi sukar yang jarang diketahui umum.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN