KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JVS) merampas 27,000 kilogram produk paha ayam sejuk beku nilai anggaran RM268,410.00 di Inanam Laut, semalam.
Pengarah Veterinar Sabah, Dr. Zul Bahar berkata, tindakan dilakukan hasil pemeriksaan sebuah kontena di Pelabuhan Sepanggar, sebelum membawa kepada rampasan sejumlah besar produk ayam sejuk beku tanpa permit import sah berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati pemilik kontena terbabit gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen import yang dikeluarkan JV Sabah.
“Susulan itu, tindakan sitaan dilakukan ke atas 27,000 kilogram produk paha ayam sejuk beku dengan nilai anggaran RM268,410.00 selaras peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” katanya di sini, hari ini.
Dr. Zul Bahar berkata, operasi dilaksanakan secara terancang dan berperingkat dengan kerjasama unit penguatkuasaan JV Wilayah Kota Kinabalu, unit pemeriksa veterinar serta unit kuarantin JVS KKIA/Kargo, selaras komitmen berterusan JVS dalam memperkukuh keselamatan makanan dan biosekuriti negeri.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar menzahirkan penghargaan kepada pasukan JVS atas kejayaan operasi itu.
“Kerajaan Sabah memandang serius sebarang cubaan membawa masuk produk makanan tanpa kelulusan sah kerana boleh menjejaskan kesihatan awam, biosekuriti serta kepercayaan rakyat terhadap sistem kawalan makanan negara,” katanya.
Beliau berkata, operasi itu jelas membuktikan ketegasan serta komitmen berterusan Sabah dalam memastikan hanya produk mematuhi piawaian dan undang-undang dibenarkan berada di pasaran. – UTUSAN










