BANDAR GAZA: Tentera Israel memusnahkan sebahagian kawasan perkuburan di Gaza yang menempatkan jasad askar beragama Islam, Britain, Australia dan anggota Bersekutu lain yang terkorban semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua, menurut analisis imej satelit serta keterangan saksi.
Imej-imej satelit Perkuburan Perang Gaza di Al-Tuffah di timur Bandar Gaza memaparkan kerja penggalian dilakukan secara meluas di bahagian selatan tanah perkuburan tersebut.
Barisan batu nisan dialihkan, lapisan tanah atas digali dan timbunan besar tanah membentuk benteng yang merentasi kawasan terjejas manakala tahap kerosakan itu dianggap selari dengan penggunaan jentera berat.
Kerosakan tersebut tidak kelihatan dalam imej satelit yang dirakamkan pada Mac tahun lalu, namun jelas kelihatan dalam gambar bertarikh 8 Ogos dan 13 Disember 2025.
“Dua operasi jentolak dilaksanakan di kawasan perkuburan. Operasi pertama dilakukan di luar tembok. (Ia) meliputi kira-kira 12 meter di sekeliling tepi perkuburan. Kawasan itu sebelum ini ditanam sepenuhnya dengan pokok zaitun.
“Kemudian, kawasan sekitar 1,000 meter persegi dimusnahkan di dalam tembok perkuburan, khususnya di penjuru yang menempatkan kubur askar Australia.
“Kerja-kerja jentolak meliputi kawasan dari bangku tempat pelawat asing biasa duduk sehingga ke tugu peringatan. Jentolak juga membentuk timbunan pasir yang digunakan sebagai benteng tanah,” kata bekas penjaga perkuburan itu, Essam Jaradah.
Apabila ditunjukkan imej satelit itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa pihaknya mengambil langkah pertahanan semasa operasi pertempuran aktif dan aktiviti di kawasan perkuburan itu diluluskan oleh pegawai kanan tentera rejim Zionis.
Suruhanjaya Kubur Perang Komanwel yang menyelenggara perkuburan tersebut mengesahkan tapak itu mengalami kerosakan serius termasuk tugu peringatan kepada Divisyen Infantri ke-54 Tentera British.
Sebuah tugu peringatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk askar-askar India yang terkorban dan kubur-kubur Hindu, Muslim dan Turkiye turut musnah. – AGENSI










