PUTRAJAYA: Perpaduan rakyat Malaysia semakin kukuh apabila skor Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 mencatat skor 0.701, tertinggi dalam tempoh tujuh tahun lalu.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, peningkatan skor itu menunjukkan trend konsisten dari 2018 apabila indeks tahun itu merekodkan 0.567 sebelum meningkat kepada 0.629 pada 2022 dan seterusnya 0.701 tahun ini, sekali gus melepasi paras sederhana tinggi dan mencapai sasaran RMK-12.
“Pencapaian ini mencerminkan semangat cinta akan negara dan keyakinan rakyat terhadap tadbir urus negara yang semakin mantap,” katanya hari ini.
Menurut beliau, komponen Tadbir Urus dan Pembangunan (TUP) menjadi penyumbang utama kepada pengukuhan perpaduan dengan sumbangan 69.7 peratus, merujuk kepada kecekapan, keadilan dan ketelusan kerajaan dalam pengurusan kuasa serta sumber.
“TUP diuukur mengikut persepsi rakyat terhadap pengurusan ekonomi, politik, jenayah, perkhidmatan awam, kemudahan awam dan pengurusan masyarakat,” katanya.
Selain itu, Etos Nasional menyumbang 46.7 peratus, Tahap Keetnikan (34.7 peratus) dan Hubungan Sosial Rentas Etnik (31.4 peratus) yang bersama-sama memperkasa keharmonian dalam masyarakat majmuk negara ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha masih perlu diteruskan bagi memperkukuhkan kualiti hubungan rentas etnik dan membina etos nasional yang lebih inklusif.
“Kerajaan akan terus berusaha memperkukuh integrasi nasional melalu pendekatan inklusif, berasaskan data dan intervensi berfokus bagi memastikan keharmonian dan kestabilan negara terus terpelihara,” katanya.
Katanya, Sarawak mencatat tahap perpaduan tertinggi dengan skor indeks 0.791, diikuti Wilayah Timur (0.741), Sabah dan Labuan (0.726) serta Wilayah Selatan (0.719).
Bagi pecahan mengikut negeri pula, Pahang muncul negeri paling kukuh perpaduannya dengan skor 0.817, diikuti Melaka (0.816) dan Sarawak (0.791).
Menurut kenyataan media, antara negeri yang mencatat skor di bawah purata nasional adalah Kelantan dengan skor 0.654, Perak (0.648) dan Kedah(0.593). – UTUSAN










