PUTRAJAYA: Integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai sebuah badan penguatkuasaan tidak boleh dihakimi melalui tohmahan dan naratif mengelirukan, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan fakta dan proses.
Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, susulan itu, mana-mana pihak digesa untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang menggambarkan wujudnya kegagalan pematuhan pihak berkuasa itu.
“Ia perlu dinilai berdasarkan fakta dan proses, bukannya melalui persepsi yang dibentuk oleh laporan yang tidak lengkap atau tidak seimbang.
“Integriti SPRM sebagai badan institusi penguatkuasaan tidak boleh dihakimi melalui tohmahan atau naratif mengelirukan serta tidak berpandukan fakta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, pihaknya menegaskan bahawa ketelusan dan keprofesionalan SPRM kekal tertakluk kepada pemantauan berterusan lembaga itu termasuk melalui penelitian laporan tahunan serta memberi ulasan dan kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah(JKMR) sebagaimana diperuntukkan oleh akta.
“Jadi, LPPR akan terus melaksanakan tanggungjawabnya secara bebas objektif dan beramanah tanpa dipengaruhi oleh tekanan luar, demi memastikan SPRM kekal berfungsi dengan cekap, berintegriti dan diyakini rakyat,” katanya.
Terdahulu, LPPR mengambil perhatian serius terhadap laporan media Bloomberg yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Katanya, LPPR sebagai salah satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM mempunyai peranan jelas untuk menasihati, meneliti dan menilai perjalanan badan penguatkuasaan itu daripada sudut dasar, tadbir urus dan keberkesanan pelaksanaannya.
“Berdasarkan semakan dan penjelasan dikemukakan, LPPR mengambil maklum keperluan pengisytiharan harta tersebut.
“Ia dengan jelas telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara dan menepati arahan Pekeliling Perkhidmatan Awam selaras dengan kerangka tadbir urus perkhidmatan awam yang berkuat kuasa dan melalui saluran rasmi ditetapkan,” katanya. – UTUSAN










