PETALING JAYA: Pelakon, Zahiril Adzim, mengakui terkejut apabila mendapati wajahnya terpampang pada sebuah poster kematian yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Bagaimanapun, selepas diperhatikan, pelakon berusia 42 tahun itu menyedari poster tersebut hanyalah parodi yang merujuk kepada watak Falah lakonannya dalam drama popular, Andai Tiada Dia.
Zahiril atau Muhammad Zahiril Adzim Mohd. Mokhtar berkata, pada awalnya dia hampir terpedaya dengan hantaran berkenaan sekiranya tidak meneliti butiran yang dipaparkan.
“Aduh, terkejut saya. Saya ingatkan saya sendiri sudah arwah, rupanya saya masih hidup lagi.
“Nasib baik saya tengok nama betul-betul. Kalau tidak, mesti saya sudah percaya dengan hantaran ini,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.
Enggan melatah dengan tindakan segelintir pihak yang sengaja mencetuskan spekulasi, pelakon filem One Two Jaga itu memilih untuk mengambil pendekatan positif.
Malah, beliau sempat berseloroh dan memohon orang ramai agar terus mendoakan kesejahteraan serta kesihatannya supaya dapat terus berbakti kepada keluarga dan mencari keredaan Allah.
“Tak mengapalah, alang-alang saya masih hidup ini, doakan saya ya semua.
“Semoga saya sentiasa sihat untuk terus cari reda Allah dan cari rezeki untuk keluarga,” ujarnya.
Terdahulu, drama Andai Tiada Dia mencipta fenomena ketika ditayangkan sekitar dua tahun lalu. Watak Falah yang dibawakan Zahiril memberi impak besar kepada penonton, lebih-lebih lagi apabila karakter tersebut berakhir dengan kematian akibat kanser. -UTUSAN










