Tiga pelajar Orang Asli pecah rekod 10 tahun masuk SBP

Tiga pelajar Orang Asli pecah rekod 10 tahun masuk SBP

SITI Norina Muhamad (tengah) bersama tiga pelajar Orang Asli semasa majlis penyerahan Surat Tawaran Sekolah Berasrama Penuh (SBP) kepada Pelajar Orang Asli di Dewan Seri Tunjong, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tiga anak Orang Asli dari Gua Musang dan Jeli mencipta sejarah apabila menempatkan diri ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tahun ini, sekali gus menamatkan penantian lebih sedekad untuk melihat mereka melanjutkan pengajian ke sekolah itu.

Nur Muhammad Al Khawarizmi Rosmi dan Muhammad Putra Faizul Ab. Ghani menerima tawaran ke Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra manakala Nor Christina Ranya pula melangkah ke Sekolah Menengah Sains Gua Musang.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN), Siti Norina Muhamad berkata, pencapaian itu menamatkan penantian lebih 10 tahun komuniti berkenaan yang sebelum ini hanya menyaksikan seorang pelajar ke SBP sepanjang tempoh tersebut.

“Ini satu pencapaian yang sangat membanggakan dan memberi sinar baharu kepada pendidikan anak-anak Orang Asli di Kelantan.

“Kita berharap kejayaan ini menjadi pencetus semangat kepada lebih ramai pelajar untuk mengikut jejak langkah mereka,” katanya selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran SBP kepada Pelajar Orang Asli di Dewan Seri Tunjong, JPN Kelantan, di sini hari ini.

Siti Norina berkata, ketiga-tiga pelajar itu bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah aktif dalam kokurikulum sekali gus menjadi kombinasi penting yang melayakkan mereka menepati kriteria ketat pemilihan ke SBP.

Katanya, perkembangan tersebut mencerminkan perubahan positif dalam komuniti Orang Asli yang kini semakin menitikberatkan pendidikan sebagai jalan keluar daripada kepompong kemiskinan dan keterbatasan geografi.

“Kejayaan ini selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan (KPM) untuk merapatkan jurang pendidikan dan memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus kecemerlangan negara,” ujarnya.

Menurut beliau, cabaran terbesar bukan sekadar memastikan kecemerlangan akademik tetapi meyakinkan ibu bapa agar memberi keizinan kepada anak-anak untuk melanjutkan pelajaran jauh dari kawasan pedalaman.

“Bukan mudah memujuk ibu bapa. Kita gerakkan pasukan khas untuk turun padang, bertemu keluarga dan memberi jaminan bahawa anak-anak mereka akan dijaga dengan baik serta memperoleh peluang pendidikan terbaik,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan tiga pelajar itu bukan sekadar angka tetapi simbol perubahan landskap pendidikan Orang Asli di negeri ini dan menjadi satu langkah kecil yang membawa makna besar dalam mencorak masa depan generasi pedalaman. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN