PETALING JAYA: Institut Jantung Negara (IJN) mencatat sejarah apabila menjadi hospital Asia yang pertama menggunakan Sistem Pemetaan dan Ablasi Affera Prism-2 bagi merawat pesakit fibrilasi atrium (AFiB), iaitu gangguan irama jantung biasa.
Pakar Perunding Kanan Kardiologi dan Pengarah Klinikal Elektrofisiologi Intervensi dan Peranti Boleh Diimplan IJN, Datuk Dr. Azlan Hussin berkata, sistem elektrofisiologi baharu yang dilancarkan secara rasmi pada 9 Februari itu menggabungkan perisian pemetaan jantung dan teknologi ablasi dwi-tenaga dalam satu peranti tunggal.
Katanya, menerusi kaedah tersebut, ia dapat membolehkan pakar merawat gangguan irama jantung yang kompleks dengan lebih tepat dan fleksibiliti.
“Rawatan ini juga dapat membolehkan pakar melaksanakan pemetaan jantung dengan lebih terperinci dan rawatan ablasi dengan menggunakan kateter tunggal tanpa perlu menukar peranti semasa prosedur.
“Berbanding dengan system sebelum ini, kami memerlukan sekurang-kurang dua kateter yang berbeza, satu untuk pemetaan dan satu lagi untuk menghantar tenaga. Ini sekaligus membolehkan kami melakukan prosedur menggunakan satu kateter, ” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Dr. Azlan berkata, setakat ini seramai 11 pesakit sudah menjalani rawatan ablasi menggunakan sistem berkenaan dan kesemua pesakit melalui prosedur dengan sangat baik.
“Prosedur dilakukan di bawah bius am dan tempoh masa yang diambil antara satu hingga dua jam bagi setiap pesakit berbanding sebelum ini memakan masa empat hingga lima jam.
“Tiada komplikasi berlaku dan mereka dibenarkan pulang keesokan harinya. Jadi, ia adalah sistem yang baik dan selamat untuk pesakit,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Dr. Azlan yang juga Pakar Perunding Kanan Kardiologi berkata, apabila pesakit semakin berusia, kemungkinan untuk mengalami ritma jantung yang tidak teratur turut meningkat.
“Fibrilasi atrium ialah gangguan ritma jantung paling lazim di dunia yang menjejaskan lebih 60 juta individu. Dianggarkan antara 10 peratus dan 30 peratus individu mungkin mengalami fibrilasi atrium apabila mereka meningkat usia.
“Ia berlaku apabila ruang atas jantung berdenyut secara tidak teratur sehingga mengurangkan keupayaan mengepam darah dengan cekap dan meningkatkan risiko strok serta kegagalan jantung jika tidak dirawat.
“Teknologi ini meningkatkan hasil rawatan dan menawarkan harapan baharu kepada individu yang menghidap gangguan ritma jantung berterusan,” katanya. – UTUSAN










