PETALING JAYA: Pelakon, Mia Sara Nasuha tampil bersuara bagi menjernihkan keadaan susulan dakwaan yang mengaitkan namanya dengan pelakon remaja, Puteri Balqis atau lebih dikenali sebagai Aqish.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Mia Sara menegaskan bahawa pelbagai andaian yang dilemparkan terhadapnya adalah tidak berasas sedangkan keluarganya turut menyokong Aqish dengan membeli buku puisi yang pernah ditulis oleh mereka.
“Kalaulah betul saya tidak suka Puteri Balqis, tak adalah sampai ibu saya pun sokong dan turut beli buku mereka. Orang tidak tahu tapi suka melontarkan kata-kata dan andaian terhadap saya,” katanya menerusi perkongsian video di Instagram.
Menurut Mia Sara, dakwaan kononnya beliau membuli atau menghina Aqish serta ibunya adalah tuduhan berat yang tidak pernah berlaku. Malah, beliau menjelaskan hanya pernah bertemu Puteri Balqis sekali sahaja sepanjang hidupnya, itupun dalam tempoh sehari dan tidak pernah berhubung selepas itu.
“Saya hanya pernah berjumpa Puteri Balqis sehari dan sekali sahaja seumur hidup. Kami tidak pernah berhubung sama sekali, tidak pernah membuli pihak Aqish termasuklah menghina ibunya,” jelasnya.
Lebih mengejutkan, Mia Sara turut didakwa menjadi punca ibu Aqish dibuang keluarga yang disifatkan sebagai tuduhan tidak masuk akal memandangkan ketika itu beliau baru berusia tujuh tahun.
“Tuduhan sangat berat dikenakan terhadap saya seperti di Instagram miliknya mengatakan saya adalah punca ibunya dibuang keluarga sedangkan ketika itu saya baru berumur tujuh tahun,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelakon tersebut turut meluahkan rasa terkilan apabila ada pihak yang menyangka beliau datang daripada keluarga berada. Hakikatnya, kehidupan mereka sebelum ini bukanlah semewah yang disangka.
“Saya pun susah, tidaklah hidup senang mana dan tidak dilahirkan dalam keluarga yang kaya. Banyak salah faham di situ. Sebelum menjadi seorang pelakon, saya dan keluarga berniaga tepi jalan jual nasi lemak,” katanya. -UTUSAN










