IPOH: Pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bagi kesalahan membuang sampah kecil yang dilaksanakan sejak 1 Januari lalu menunjukkan kesan positif apabila banyak pihak mula menyedari tanggungjawab mereka dalam menjaga kebersihan persekitaran.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, rata-rata individu yang ditahan atas kesalahan itu melahirkan rasa kesal dan menganggap hukuman berkenaan sebagai pengajaran.
“Saya selalu tegaskan bahawa undang-undang khidmat masyarakat adalah bersifat untuk mendidik, bukannya menghukum.
“Kita mahu didik rakyat supaya celik dan tidak membuang sampah merata-rata. Tahun depan negara akan menyambut kemerdekaan untuk kali ke-70, tak akanlah tidak tahu lagi buang sampah di mana,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina oleh Dewan Perhimpunan Cina Perak di Summit Event Hall, di sini hari ini.
Menurut beliau, sehingga kini, seramai 754 individu telah ditangkap atas kesalahan membuang sampah di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 478 individu didakwa di mahkamah dengan 15 individu telah dihukum menjalani khidmat masyarakat.
“Sangat penting untuk kita pastikan negara ini kekal bersih supaya masyarakat sihat dan tiada penyakit berjangkit.
“Setakat ini saya sudah mula nampak hasil positif daripada pelaksanaan undang-undang tersebut dan ia akan terus diperkasakan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang berkata, terdapat sebanyak 17 keluarga terjejas akibat kejadian banjir dan ribut di kawasan tersebut baru-baru ini.
“Pasukan khidmat DUN Kepayang telah turun padang sehari selepas kejadian dan menyalurkan bantuan kewangan kecemasan berjumlah RM23,000 kepada keluarga terlibat,” katanya. – UTUSAN









