SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap insiden membakar suar membabitkan penyokong Selangor FC di Jambatan Angkat Kuala Terengganu, kelmarin.
Istana Alam Shah dalam kenyataan berkata, baginda bertitah mahu dalang di sebalik insiden itu ditahan dan jika didapati bersalah hendaklah dihukum dengan hukuman maksimum dan setimpal mengikut undang-undang.
Katanya, baginda sebagai Penaung Selangor FC amat dukacita dan kecewa dengan insiden berkenaan.
“Baginda tidak berkenan dengan kegiatan tidak bermoral seperti budaya samseng dan gangsterisme yang kian menular di kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya yang memakai jersi pasukan Selangor FC.
“la sebagai pengajaran kepada para penyokong Selangor FC yang lain supaya insiden seumpamanya tidak berulang,” katanya, hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan seramai 21 daripada 33 penyokong Selangor FC yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes membakar suar dan berarak di Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini, semalam didapati positif dadah.
Mereka ditahan berkait perbuatan mengganggu ketenteraman awam, memiliki bahan terlarang dan menghalang tugas penjawat awam.
Istana Alam Shah dalam kenyataan sama memberitahu, Sultan Selangor menegaskan semua penyokong pasukan Selangor FC sentiasa mengawal tingkah laku masing-masing serta menjaga nama baik pasukan dan negeri.
“Baginda turut mencadangkan agar penyokong-penyokong Selangor FC yang disabitkan kesalahan menimbulkan kekacauan, agar diharamkan daripada masuk ke stadium untuk menghadiri mana-mana perlawanan membabitkan pasukan itu,” katanya. – UTUSAN










